JADIKAN PERISTIWA HIJRAH NABI DAN SAHABAT SEBAGAI TELADAN – PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN
NIBONG TEBAL, 9 Ogos 2021 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria menyeru warganya untuk kembali kepada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari Makkah ke Madinah sebagai teladan dalam menghadapi ujian.
Berucap di Majlis Santapan Rohani Sempena Awal Muharam 1443H Peringkat Kampus Kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) secara dalam talian hari ini, beliau menyatakan bahawa kita sebagai umat Islam perlu yakin akan hikmah di sebalik usaha ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 pada hari ini.
“Seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran, kita semua adalah sebaik-baik umat manusia. Justeru itu, pandemik ini tidak lain hanyalah sekelumit ujian jika hendak dibandingkan dengan apa yang telah Nabi Muhammad SAW hadapi semasa peristiwa hijrah dahulu,” kata Azazi.
“Malah, sebagai umat serta pengikut baginda Rasulullah SAW, hendaklah kita sentiasa kekal tenang, berikhtiar dan mengambil langkah-langkah pencegahan sambil yakin akan adanya Allah SWT yang memelihara kita untuk sama-sama menghadapi situasi yang mencabar ini,” tambah beliau.
Selain daripada itu, Azazi juga menyatakan kesediaan beliau bersama-sama warga Kampus Kejuruteraan untuk kekal optimis sebagai usaha mencipta kecemerlangan akademik dan sahsiah diri warganya demi meletakkan universiti ini di kedudukan yang lebih baik pada masa hadapan.
“Sebagaimana yakinnya kita akan peristiwa hijrah yang telah melakar sejarah hebat sehingga hari ini, maka hendaklah setiap daripada kita berusaha bersama, bersungguh-sungguh dengan tekad untuk mengembalikan kecemerlangan USM seperti sebelum ini.
“Malah, para pelajar, penyelidik, pentadbir dan seluruh warga Kampus Kejuruteraan membuktikan bahawa mereka berjaya mengekalkan momentum pencapaian melalui pelbagai laporan kejayaan walaupun sedang berdepan dengan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” tambah Azazi.
Di majlis yang sama, Pengarah IPPT, Prof. Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin turut menyeru warga kampus supaya reda dengan ujian wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia dan perlu berbuat sesuatu untuk sama-sama mengekang penularannya.
“Kita tidak boleh berpeluk tubuh dan janganlah menjadikan pandemik ini sebagai alasan untuk kita mundur ke belakang sebaliknya maralah ke hadapan dengan perancangan yang mantap bagi menguruskan krisis ini dengan baik,” kata beliau.
Diadakan secara dalam talian, majlis ini turut menampilkan mantan Timbalan Pengarah Pengarah Pusat Islam, Ustaz Md. Yusuf Abdul Rahim yang dijemput untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk Ibrah Hijrah Rasul SAW: Menempuh Cabaran.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman