PENSYARAH PPKM KETUAI KERJASAMA PROJEK PPRN BERNILAI RM60,000.00
NIBONG TEBAL, 29 September 2021 – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohamad Aizat Abas akan menjadi Ketua untuk Projek Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bernilai RM60, 000.
Menurut Aizat, projek Customized Semi-Automated IoT-based Portable Solar Panel Cleaning ini dijangka akan menambah baik dan menghasilkan satu inovasi robot pencucian solar panel baharu yang sedang berada di pasaran.
“Ia adalah untuk bagi menggantikan proses terdahulu yang dijalankan secara manual dan tidak menjimatkan masa.
“Melalui penyelidikan ini, proses yang sama bukan sahaja akan di tambah baik supaya lebih cepat malah secara tidak langsung akan menjadi lebih efektif dalam penggunaan tenaga kerja,” kata beliau.
“Selain daripada membolehkan kita meluaskan pengalaman melalui penyelidikan yang akan berlangsung, saya turut berharap agar kejayaan projek ini meringankan lagi beban pihak industri di masa akan datang” tambah Aizat.
“Terima kasih diucapkan kepada pada pihak KPT dan USM atas peluang yang diberikan kepada saya dan pasukan dalam mengetengahkan produk yang akan dipasarkan untuk kegunaan industri tenaga boleh diperbaharui di Malaysia ini,” tambah Aizat.
Melalui peruntukan dana yang diberikan, projek ini akan berlangsung selama 12 bulan dan melibatkan kerjasama antara USM serta syarikat swasta, Voltake Energy Services Sdn Bhd.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Profesor Madya Dr Mohamad Aizat Abas