TIGA PENSYARAH KAMPUS KEJURUTERAAN ANTARA PENERIMA PENGIKTIRAFAN TRSM 2021
NIBONG TEBAL, 4 Oktober 2021 – Tiga pensyarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) antara 22 saintis yang diumumkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) sebagai Top Research Scientists Malaysia (TRSM) untuk tahun 2021.
Pengiktirafan ini adalah berdasarkan kepada sumbangan dan pencapaian mereka yang cemerlang dalam bidang Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).
Mereka adalah Profesor Dr. Ooi Boon Seng dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia serta Profesor Profesor Ir. Ts. Dr. Zuhailawati Hussain dan Profesor Dr. Zainovia Lockman dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral.
Melalui usaha serta penyelidikan yang dijalankan, Profesor Dr. Ooi Boon Seng memastikan kelestarian industri akan mendatangkan manfaat kepada alam sekitar dan membawa kesan positif kepada sosioekonomi Malaysia. Penyelidikan beliau tertumpu ke arah pemulihan sumber bumi terhad seperti ion logam, zat dan air bersih daripada air sisa dengan menggunakan teknologi gabungan membran.
Mantan Dekan PPKBSM, Profesor Ir. Ts. Dr. Zuhailawati Hussain pula merupakan salah seorang daripada yang telah banyak memberikan sumbangan dalam kemajuan implan ortopedik dan pembangunan logam baharu. Melalui penyelidikan yang beliau jalankan, perkhidmatan perubatan berprestasi tinggi dapat ditawarkan kepada masyarakat dan seterusnya menjadikan industri pembuatan logam lebih ekonomi dan lestari.
Merupakan pakar di dalam bidang bahan, Profesor Dr. Zainovia Lockman selaku pengerusi bersama Badan Bertindak ASM ini juga turut membantu dalam pembangunan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Nasional 2021-2030 yang menyentuh kepada keselamatan dan peraturan berkaitan nanoteknologi.
Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, YB Dato' Sri Dr. Adham Baba melalui satu majlis yang diadakan secara dalam talian pada 28 September 2021 yang lalu.