MAULIDURRASUL, PENCETUS RASA CINTA KEPADA BAGINDA NABI MUHAMMAD S.A.
NIBONG TEBAL, 14 November 2021 – Maulidurrasul atau sambutan hari kelahiran Nabi Muhammad S.A.W amat penting bagi umat islam di seluruh dunia sebagai pencetus rasa cinta kita kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W.
Berikut antara intipati ucapan perasmian Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) sempena majlis sambutan Maulidurrasul 1443H peringkat Kampus Kejuruteraan yang diadakan di Pusat Islamnya baru-baru ini.
“Rasa cinta kepada baginda bukanlah pada bulan Rabiul Awal sahaja tetapi kita juga harus menghayati perjuangan Nabi Muhammad dalam bidang lain yang boleh kita contohi dan terapkan, contohnya dalam membangunkan ekonomi,” kata Azazi.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak untuk memberikan fokus dan perhatian kepada membantu sesama Islam melalui program-program yang boleh melahirkan usahawan serta juga menjana pendapatan kepada warga kampus USM secara menyeluruh,” tambah beliau.
Selain daripada itu, Azazi turut menyatakan bahawa walaupun kita mempunya beberapa contoh usahawan hebat terdahulu seperti Abdul Rahman Auf, Abu Bakar as Siddiq, Zubair al Awwam dan lain-lain sebagai rujukan, namun, karakter dan peribadi orang kaya dalam tarbiah Rasulullah adalah mereka yang mengeluarkan zakat untuk membantu orang yang memerlukan.
“Oleh yang demikian, bagi menyatakan tanda ingatan dan ikutan kita sempena Maulidurrasul ini, marilah kita, dengan memberi perhatian kepada ekonomi sambil berzakat, berinfaq serta berwaqaf.
“Perkara ini adalah supaya umat Islam dapat membentuk satu ekosistem di mana yang kaya bersyukur akan nikmat diberikan dengan membantu yang lemah serta menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan mereka yang lemah sentiasa bersabar dalam menghadapi ujian yang mendatang,” kata beliau lagi.
Azazi dalam ucapan beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada seluruh jawatankuasa dan warga kampus yang telah banyak menghulur tenaga dalam menjayakan seluruh aktiviti serta usaha yang dijalankan oleh Pusat Islam selama ini termasuklah sambutan Maulidurrasul 1443H pada kali ini.
Turut hadir dalam majlis yang diadakan secara dalam talian ini adalah Pengarah Pusat Islam, Mohammad Shukri Osman dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maulidurrasul 1443H Peringkat Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Mohd Suffian Yusof.
Teks: Siti Faizah Abd Halim