84 KAKITANGAN KATEGORI B40 KAMPUS KEJURUTERAAN TERIMA SUMBANGAN TABLET
NIBONG TEBAL, 17 November 2021 – Seramai 84 orang kakitangan Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) kategori pendapatan isi rumah B40 yang mempunyai anak berumur 7 hingga 12 tahun terima sumbangan tablet di sini hari ini.
Namun demikian, majlis penyerahan yang diadakan di Bangunan Pentadbiran ini dihadkan kehadirannya kepada 23 orang penerima sahaja demi memastikan pematuhan yang ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa.
Menurut Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, sumbangan ini merupakan satu inisiatif Strategik USM Tahun2021: Talent Management and Wellbeing Staff oleh USM yang berada di bawah seliaan Pendaftar.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kita di universiti amat menitikberatkan hal ehwal kebajikan Staf dan pelbagai inisiatif telah, dan bakal dilaksanakan bagi memastikan kebajikan mereka khususnya dalam kategori B40 sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” kata beliau.
“Menyedari akan pentingnya aspek Teknologi dalam pelajaran dan pembelajaran untuk mendepani cabaran transformasi digital, sumbangan ini tentunya diharap akan memperkasakan lagi pembelajaran yang lebih sistematik serta interaktif anak-anak staf.
“Malah, kita juga faham cabaran dalam zaman sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di mana bukan semua orang mempunya kelebihan dari kemampuan membeli gajet atau telefon pintar bagi memenuhi permintaan kelas secara dalam talian anak-anak setiap hari hari,” tambah Azazi.
“Disebabkan itu, saya percaya pemberian ini akan meringankan beban semua penerima terutamanya yang mempunyai bilangan anak yang agak ramai,” kata beliau lagi.
Disamping itu, Azazi turut menyatakan hasrat untuk melihat inisiatif yang dijalankan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh anak-anak penerima disamping menjadi inspirasi kepada staf untuk terus berkhidmat dengan cemerlang di USM.
Majlis turut dihadiri Ketua Penolong Pendaftar, Jabatan Pendaftar selaku urusetia program, Encik Mohd Jalaludin Azizan, Pegawai Tadbir Pejabat Pengarah, Encik Muhamad Sallehuddin Abdul Hamid dan Pengerusi Kesatuan Kakitangan Am USM Kampus Kejuruteraan, Puan Hasnah Hassan.