PEMAIN INDUSTRI AT&S TINJAU POTENSI KERJASAMA BIDANG KEJURUTERAAN
NIBONG TEBAL, 22 November 2021 – Lawatan industri dari Syarikat AT&S atau Austria Technologie & Systemtechnik Aktiengesellschaft ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini membuka peluang kerjasama kedua-dua pihak terutamanya dalam bidang kejuruteraan.
Dekannya, Profesor Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim menyatakan bahawa kunjungan ini diharap akan mewujudkan maklum balas serta perkongsian yang bermanfaat kepada kedua belah pihak terutamanya di antara pusat-pusat pengajian yang terlibat seperti PPKBSM, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM).
Malah, sepanjang perbincangan berlangsung, beliau dan Dekan PPKEE, Profesor Ir. Dr. Mohd Fadzil Ain turut menyatakan keterbukaan pusat pengajian untuk cadangan – cadangan yang dikemukakan oleh AT&S terutamanya berkaitan permohonan untuk mengadakan latihan dan kursus jangka pendek kepada kakitangan mereka di masa akan datang.
Selain daripada itu, Syed turut berkongsi akan kesedian kampus dalam memenuhi keperluan tenaga kerja industri seperti AT&S melalui tiga buah pusat pengajian yang terlibat dengan kapasiti graduan serta jurutera seramai 540 orang bagi setiap sesi kemasukan.
Menurut Rene Spielmann, Ketua bahagian Pembelajaran dan Pembangunan AT&S, di sebalik objektif utama kunjungan, pihak syarikat juga mensasarkan kepada peluang untuk membina sokongan dari mereka yang berpotensi terutamanya universiti serta pusat latihan.
Rene turut menyatakan bahawa perkara utama yang menjadi titik fokus syarikat pada waktu ini adalah pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan (R&D), oleh yang demikian, lawatan ini diharap dapat diterjemahkan kepada hubungan dua hala termasuklah peluang pekerjaan yang dapat dipenuhi oleh graduan-graduan daripada Kampus Kejuruteraan kepada AT&S di masa akan datang.
Turut hadir adalah Pengurus Program Penyelidikan Perhubungan R&D AT&S, Dr. Guenther Maie dan Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Bakat Industri & Ekspatriat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Muhammad Amir Zainal Abidin.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman