Skip to main content

DUA PELAJAR CEMERLANG KEJURUTERAAN USM TERIMA TAWARAN BIASISWA LOTTE CHEMICAL TITAN (M) SDN. BHD 2021

271652705 5282693185091286 9217604188631164434 n 1

NIBONG TEBAL, 5 Januari 2021 – Dua pelajar cemerlang dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) terima tawaran biasiswa daripada LOTTE Chemical Titan (M) Sdn. Bhd. 2021.

Biasiswa yang dikhaskan penyertaannya kepada mahasiswa yang mengikuti kursus ijazah tahun pertama dalam bidang Kejuruteraan dan Kimia Gunaan ini ditawarkan kepada Loh Grierson and Christy Wee Xin Yee, masing-masing merupakan pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKM).

271773070 5282693238424614 4201693790617587257 n

Cemerlang sejak menuntut di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan PGNK 4.0, Loh Grierson (20), berasa bertuah kerana terpilih sebagai salah seorang penerima kerana ia akan menjadikan hidupnya berbeza dan menjadi selektif tentang cara beliau menghabiskan masa lapang untuk belajar, menimba ilmu serta memperoleh gred yang lebih baik.

“Malah, biasiswa ini juga akan dapat menjadi medium untuk saya mengembangkan kemahiran insaniah tanpa perlu risau dengan sebarang kekangan kewangan hingga perlu mencari kerja sambilan sepanjang menjalani empat tahun pengajian di USM ini nanti,” kata anak kedua daripada tiga bersaudara ini.

Loh turut berkongsi beberapa tips untuk kekal cemerlang yang berjaya menjadikan beliau sebagai salah seorang penerima biasiswa iaitu melakukan persedian rapi sebelumnya dan sentiasa jujur sepanjang temuduga dijalankan.

“Lakukan kajian latar belakang syarikat tersebut, biasiswa yang akan diberikan serta butiran-butiran kursus lain yang boleh membantu sepanjang sesi soal jawab tersebut.

“Selain itu, walaupun gred tidak mencerminkan segala-galanya, tetapi ia juga secara langsung dapat menunjukkan sikap kita dalam melakukan kerja di mana kita masih perlu mengekalkan PNGK yang cemerlang untuk memperolehi kelebihan berbanding calon-calon yang lain,” tambah pelajar yang meminati bidang petrokimia, penjagaan kesihatan, bioteknologi dan farmaseutikal ini.

271331512 5282693235091281 6232031935229145527 n

Seorang lagi penerima biasiswa yang diwujudkan dengan matlamat untuk membantu pelajar berbakat yang memerlukan bantuan kewangan dalam mencapai matlamat dan cita-cita peribadi mereka, Christy Wee Xin Yee (20), pula menyatakan bahawa sokongan keluarga dan guru memainkan peranan penting dalam perjalanan beliau sebagai pelajar cemerlang.

“Mereka ini adalah tulang belakang yang sentiasa memberikan galakan sepanjang masa sehingga saya terpilih untuk menerima biasiswa yang ulung ini walaupun sejujurnya saya masih dalam proses belajar dan sentiasa rasa rendah diri apabila berada di kalangan senior serta rakan sebaya yang lain,” kata anak sulung ini.

“Sebagai individu pula, saya merasakan bahawa kita sendiri perlu sentiasa bersedia untuk melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah kerana orang bijak dengan nilai akademik yang cemerlang itu ramai tetapi yang benar-benar mahir secara menyeluruh itu masih kurang,” tambah bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan St Mary ini.

Menurut Christy, personaliti yang lengkap seperti ini tidak boleh dipandang rendah kerana secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam setiap permohonan, pertandingan mahupun pekerjaan yang ingin kita ceburi atau dapatkan dalam kehidupan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Loh Grierson & Christy Wee Xin Yee