Skip to main content

DUA PENSYARAH PPKK KONGSI KEPAKARAN DALAM MAJLIS SYARAHAN UMUM PELANTIKAN PROFESOR USM

 1

NIBONG TEBAL, 15 Mac 2023 – Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Auditorium menyaksikan dua orang pensyarah daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) berkongsi kepakaran dalam bidang masing-masing kepada warga kampus serta tetamu yang hadir.

Melalui syarahan beliau yang bertajuk Evolusi Rawatan Termal Sisa Pertanian dan Sisa Plastik, Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad menekankan penggunaan sisa pertanian dan sisa plastik, iaitu bahan mentah berkos rendah untuk dimanfaatkan serta diproses secara rawatan termal.

Menurut beliau, analisis dan maklumat yang dibentangkan ini boleh digunakan sebagai panduan dalam kajian selanjutnya untuk membangunkan proses rawatan termal yang mampan dan cekap untuk merekayasa sisa-sisa ini kepada produk-produk bernilai tinggi.

Cahaya mata kepada Ahmad Harun dan Azizah Mohd Nor yang juga merupakan anak sulung dari tujuh beradik ini mendedikasikan kejayaan beliau hari ini kepada Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya PPKK yang sentiasa memacu kecemerlangan setiap warganya.

2

3

Malah, suami kepada Hanisah Fadzil ini turut menyampaikan ucapan terima kasih beliau kepada semua pelajar pasca siswazah seliaannya kerana telah merancakkan aktiviti penyelidikan berkait rawatan termal sisa pertanian dan sisa plastik.

“Yang paling utama, saya sangat bertuah kerana dikurniakan isteri serta sembilan cahaya mata yang amat memahami tuntutan tugas saya di universiti serta menceriakan kehidupan saya selama ini, alhamdulillah,” akhiri Profesor dalam bidang Rawatan Termal Sisa Biojisim dan Penjerapan ini.

4

5

Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad melalui pembentangan beliau yang bertajuk Rangkaian Neural Berbilang (MNN), Menyelesaikan Masalah Pemodelan dan Kawalan dalam Aplikasi Kejuruteraan Kimia pula menekankan mengenai asas rangkaian neural tunggal dan turut memperkenalkan ramalan model yang lebih baik menerusi penggunaannya.

Anak kelahiran Pontian, Johor ini melalui syarahannya menyatakan bahawa setiap teknik gabungan yang dicadangkan menawarkan kelebihan tertentu dalam aplikasi permodelan di mana penggabungan pelbagai rangkaian neural ini dapat meningkatkan keteguhan model rangkaian neural berbanding model Rangkaian Neural Tunggal (SNN).

Pembentangan beliau turut menunjukkan bahawa penggabungan pelbagai rangkaian neural boleh meningkatkan prestasi generalisasi model sehingga model rangkaian neural gabungan mempunyai SSE yang lebih rendah pada data pengesahan yang tidak kelihatan berbanding SNN.

6

78

9

Bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera serta pendidik, bapa kepada dua orang cahaya mata perempuan dan seorang cahaya mata lelaki ini menyatakan rasa bangga beliau kerana telah berjaya mencapai impian tersebut sambil turut disokong oleh isteri, Zalifah Shohod@Hj Yusop.

“Saya sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan saya sebuah keluarga yang bukan sahaja menjadi penyokong setia yang tidak berbelah bagi tetapi juga sentiasa memahami perjalanan kerjaya saya sebagai seorang pendidik dan tidak ketinggalan juga rakan-rakan sekerja yang senantiasa membantu,” tambah Profesor dalam bidang Kawalan Proses ini.

Teks: Siti Faizah Abd Halim

Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman