Skip to main content

KONGSI REZEKI DI BULAN RAMADAN, PENGARAH KAMPUS PUJI INISIATIF BHEPA DAN PELAJAR

DSC 9209

NIBONG TEBAL, 25 Mac 2023 – Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) memuji inisiatif yang dijalankan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan mahasiswa kampus melalui Program Kongsi Rezeki yang dilaksanakan pada hari ini.

Beliau menyifatkan usaha ini, apatah lagi ianya dijalankan pada bulan Ramadan jelas menunjukkan tingginya komitmen para mahasiswa untuk membantu masyarakat yang lagi di dalam kesusahan walaupun mereka sendiri kebanyakannya sedang menjalani ibadah puasa.

Malah, penglibatan secara langsung mahasiswa bersama masyarakat sekitar melalui seperti ini semestinya akan memupuk nilai insaniah dalam diri mereka di mana ianya merangkumi aspek keperibadian dalam diri masing-masing serta bekerja sebagai satu kumpulan antara satu sama lain.

DSC 9171

DSC 9238

“Penglibatan mereka dalam program ini juga akan mewujujudkan nilai tambah kepada pelajar-pelajar ini di luar dominasi kepakaran harian mereka seperti kejuruteraan contohnya.

“Sepanjang program berlangsung, mereka akan lebih peka dengan persekitaran, lebih sensitif dengan kesusahan orang lain dan apa yang paling penting, kemahiran komunikasi mereka akan semakin baik di mana ianya akan meningkatkan kualiti mereka sebagai graduan kelak,” tambah Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi.

“Melalui program bersama masyarakat seperti ini, mereka akan belajar serta memahami konsep belajar, bagaimana untuk menjadi ahli masyarakat yang berjaya seperti yang sering ditekankan oleh USM kepada semua pelajarnya,” kata beliau lagi.

PTNC23 3

Program yang dijalankan di Kampung Tg. Berembang, Kampung Tasek, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Changkat, Seberang Perai Selatan ini melibatkan seramai 40 orang Pelajar Tahun 1 bersama dengan Pembimbing Pelajar Siswa Lestari dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan USM.

Barangan dapur yang merupakan sumbangan pelajar dan staf Kampus Kejuruteraan serta tajaan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, YB Puan Fadhlina Sidek; Mydin Mall Parit Buntar dan Masjid Seri Ampangan berjaya diserahkan kepada 40 buah keluarga sepanjang program dilaksanakan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim

Foto: Ihsan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Kampus Kejuruteraan dan Muhammad Taufik Abdul Rahman