Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM CAREER FAIR PLATFORM PELAJAR TONJOL POTENSI PADA INDUSTRI TEMPATAN DAN ANTARABANGSA

IMG 2470

NIBONG TEBAL, 1 Mei 2023 - Karnival Kerjaya Universiti Sains Malaysia (USM) 2023 atau lebih signifikan dengan jolokan nama USM Career Fair 2023 telah melabuhkan tirainya baru-baru ini dengan mencapai sasaran penganjurannya.

Bermula pada 12 hingga 13 April 2023 di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan USM, sebanyak 60 syarikat pelbagai bidang industri telah mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan oleh pelajar USM dengan bantuan penasihat pihak Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA).

Seramai lebih 3,000 pengunjung telah membanjiri USM Career Fair pada kali ini yang antaranya merupakan pelajar universiti dan orang awam.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang turut dihadiri oleh Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman.

Beliau turut memberikan pesanan kepada pelajar supaya dapat memanfaatkan program ini bagi membina masa depan yang lebih baik.

USM Career Fair pada kali ini telah mendapat penajaan Platinum oleh syarikat Huawei.

Sementara itu, majlis penutup program telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Ir. Ts. Dr. Sharel Azmin Bin Suandi yang merupakan Penasihat Program ini.

Beliau turut menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada seramai 14 orang pengunjung yang berjaya memenangi hadiah.

USM Career Fair anjuran BHEPA Kampus Kejuruteraan merupakan antara program yang memberi penekanan terhadap kapasiti pemerkasaan mahasiswa dalam melaksanakan program tanpa pemantauan yang kerap oleh penasihat dan pegawai universiti.

Seramai 60 orang sekretariat pelajar yang diketuai oleh Kee Kang Yik telah memberikan komitmen dan dedikasi dalam memastikan program ini berjalan lancar.

Teks & foto: Mohd Hafiz Ali Bin Mohd Anuar
Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah