Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

NAIB CANSELOR UCAP SELAMAT HARI PEKERJA 2023

IMG 5372

USM PULAU PINANG, 1 Mei 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga USM.

"Saya mendoakan agar seluruh warga USM yang sedang bercuti dan masih dalam suasana menyambut syawal sentiasa berada dalam keadaan sihat dan sejahtera," kata beliau.

Tambah beliau lagi, kita semua hendaklah sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi di samping meneruskan usaha meningkatkan lagi produktiviti diri untuk memacu kecemerlangan universiti.

"Dalam suasana sebuah universiti berstatus APEX, kita perlu melihat proses kerja yang lebih sesuai dengan masa dan ketika ini serta masa hadapan dalam pembangunan institusi secara menyeluruh.

"Untuk menjadi institusi terbaik, kita perlu mempunyai warga yang terbaik dalam semua lapangan," tegasnya.

Kata beliau lagi, dengan tema ‘Pekerja Pemangkin Wadah Malaysia Madani’ bagi sambutan hari pekerja tahun ini, warga USM perlu menitikberatkan semangat baharu untuk meningkatkan kualiti kerja ke tahap yang lebih baik lagi.

Abdul Rahman turut menasihatkan supaya warga USM meningkatkan mutu kerja dalam konteks bekerja secara berpasukan untuk meneruskan kecemerlangan Universiti dalam mendepani cabaran yang mendatang.

“Kejayaan yang digapai USM kini juga merupakan hasil titik peluh dan sumbangan seluruh warga USM melalui komitmen kerja keras dan budaya bekerja bersungguh-sungguh warganya.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja dan mendoakan agar seluruh warga USM sentiasa berada dalam keadaan sejahtera di musim perayaan ini,” katanya.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah