DESASISWA MURNI NURANI MUNCUL JUARA DPNC 2023
NIBONG TEBAL, 7 Mei 2023 – Desasiswa Murni Nurani dari Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) muncul juara dan seterusnya memenangi Debat Piala Naib Canselor (DPNC) pada pusingan akhir pertandingan tersebut di sini hari ini.
Melalui tajuk Perluasan Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Sektor Perindustrian Bagi Menggantikan Tenaga Kerja Manusia, Desasiswa Murni Nurani selaku pasukan pencadang berjaya meletakkan pasukan pembangkang dari Desasiswa Aman Damai sebagai naib johan pertandingan.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, program seperti ini sangat baik dalam membentuk legasi pimpinan masa hadapan memandangkan mereka yang terlibat bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah kemahiran insaniah juga.
“Malah, ianya amat mengagumkan apabila setiap daripada mereka mempunyai kesedaran yang tinggi akan isu-isu semasa yang sedang berlaku di sekeliling kita pada hari ini,” tambah Abdul Rahman ketika hadir pada pusingan akhir pertandingan yang menyaksikan Desasiswa Jaya Lembaran Utama Kampus Kejuruteraan sebagai tuan rumah DPNC 2023 ini.
“Saya juga ingin menggalakkan pelajar-pelajar ini untuk meluaskan lagi kemahiran dan bakat mereka dengan melibatkan diri dalam aktiviti bersama masyarakat serta pihak luar memandangkan ianya adalah sebahagian daripada agenda kita sebagai APEX universiti di Malaysia,” kata beliau.
“Melalui penglibatan ini kelak, mereka secara langsung boleh menjadi model contoh serta duta USM kepada masyarakat di luar sana terutama kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah, apatah lagi dengan jurang umur yang tidak banyak bezanya antara mereka,” tambah Abdul Rahman lagi.
Bagi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman yang turut hadir ketika perasmian pusingan akhir pertandingan pula, USM akan sentiasa cuba dalam melestarikan setiap program flagship universiti demi memperkasakan setiap mahasiswanya.
“Namun demikian, kita juga akan memberi seminima mungkin bimbingan melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) demi membuka peluang kepada mahasiswa serta mahasiswi untuk lebih berdikari,” kata Azlinda.
“Selain daripada itu, saya juga ingin menggalakkan lebih banyak penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti anjuran universiti tanpa mengira status serta tahun pengajian masing-masing.
“Bagi para senior pula, jangan lokek untuk berkongsi ilmu sedia ada dalam memastikan legasi program desasiswa seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang,” tambah beliau.
Selaku johan pertandingan, Desasiswa Murni Nurani berjaya membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM1000.00 manakala Desasiswa Aman Damai pula berjaya membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM800.00.
Pelajar tahun 4 Pusat Pengajian Sains Pergigian dari Desasiswa Murni Nurani, Izzah Imanina Muhammad Marzuqi @ Jantan pula berjaya dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Liga serta Pendebat Terbaik Keseluruhan dan membawa pulang hadiah kemenangan masing-masing berjumlah RM100.00 bagi setiap kategori.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman