Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN WAU ROCKETRY UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

DSC 2562

NIBONG TEBAL, 13 Mei 2023 – Pencapaian serta kejayaan pasukan Wau Rocketry dari Pusat Pengajian Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menyertai pertandingan Spaceport America Cup adalah suatu yang membanggakan.

Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, YB Chang Lih Kang semasa sesi Lawatan Kerja beliau dan Majlis Penyampaian Sumbangan Bagi Projek Hebat II anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa di Kampus Kejuruteraan USM hari ini.

Sebagai satu bentuk sokongan kepada inisiatif yang diterajui oleh pelajar selaku wakil tunggal Malaysia di pertandingan tersebut melalui Projek Hebat II, beliau telah menyumbangkan RM10,000.00 dan turut bersedia untuk terus menyumbang kepada projek ini lagi di masa akan datang.

DSC 2464

DSC 2702

Malah, YB Chang Lih Kang turut menggalakkan lebih banyak penglibatan daripada pihak kerajaan, industri serta masyarakat di luar sana terutamanya apabila ianya melibatkan peruntukan serta perbelanjaan pasukan ini untuk menyertai pertandingan berprestij di Amerika Syarikat ini pada Jun akan datang.

Bagi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman, sokongan yang ditunjukkan oleh YB serta Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi kepada pelajar USM adalah penting di atas usaha mereka mengharumkan nama Malaysia dan USM.

Apatah lagi menurut beliau, penglibatan serta pembangunan projek pasukan ini adalah sejajar dengan bidang Sains, teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu sendiri yang akan membawa lebih banyak perubahan kepada negara kita kelak.

DSC 2365

DSC 2436

Selain daripada itu, Profesor Dr. Azlinda turut menekankan peranan USM dalam memperkasakan mahsiswanya dan pencapaian Wau Rocketry pada hari ini adalah contoh kepada usaha pelajar serta komitmen masing-masing untuk berjaya dalam apa yang mereka lakukan.

Profesor Dr. Azlinda turut berharap agar sokongan yang ditunjukkan serta diberikan oleh YB ini akan menjadi salah satu galakan kepada USM untuk menganjurkan lebih banyak lagi program di masa akan datang.

Pelajar tahun 4 Pusat pengajian kejuruteraan Aeroangkasa, Vanmitha Athimoolam (23 tahun), selaku Pengarah menyatakan rasa terima kasih beliau kepada semua pihak terutamanya pusat-pusat pengajian kerana telah memberikan bantuan yang tidak terhingga bukan sahaja kepada pasukan tetapi juga projek Wau Rocketry ini.

DSC 2667

DSC 2762

Malah, beliau turut berharap agar lebih banyak sokongan diterima dari pelbagai pihak terutamanya untuk pasukan Wau Rocketry mencapai sasaran kos pertandingan berjumlah RM371,000.00 demi merealisasikan hasrat menjulang nama Malaysia di lima tempat teratas pada acara tahunan ini nanti.

Terdiri daripada 12 pelajar Kejuruteraan, Wau Rocketry ditubuhkan pada tahun 2021, dan penyertaan sulung pasukan sebagai wakil tunggal negara pada pertandingan yang sama tahun lepas telah berjaya meletakkan mereka di tempat ke-7 daripada 46 pasukan dalam kategori 10,000 kaki dan tempat ke-12 daripada 99 pasukan dari seluruh dunia.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman.