Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MEWUJUDKAN IDEA SAINS UNTUK SEMUA DI STEM: USM-MICRON YOUNG WiSE

DSC 3004

NIBONG TEBAL, 13 Mei 2023 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) berjaya mewujudkan idea bahawa sains adalah untuk semua melalui penganjuran Program STEM: USM-MICRON Young WiSE atau Women in Science and Engineering 2023 di Kampus Kejuruteraan hari ini.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika hadir meluangkan masa melawat persiapan cabaran Pengaturcaraan Dron dan Robot Mobile oleh peserta program berkata, usaha seperti ini perlu dijalankan dengan skala lebih besar dalam menarik minat pelajar untuk masuk ke USM.

“Kita di USM perlu lebih giat mempromosikan universiti dengan sentiasa turun padang untuk mendedahkan Sains dan Kejuruteraan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah,” beliau berkata.

DSC 2959

DSC 2957

“Apatah lagi dengan idea bahawa sains itu adalah milik semua dan program hari ini berjaya mengukuhkan pandangan tersebut dengan melihat kepada penglibatan keseluruhan peserta dari kalangan pelajar pada hari ini yang tidak terhad kepada sekolah-sekolah berstatus elit sahaja dan saya sangat berpuas hati,” kata beliau.

“Inisiatif yang dilakukan ini adalah suatu yang sangat baik kerana seperti yang kita sedia maklum, sekolah-sekolah elit itu sendiri sentiasa diberikan peluang untuk menonjolkan bakat mereka.

“Sebaliknya pula dengan sekolah-sekolah harian biasa yang mana mereka ini sebenarnya tidak kalah besar bakatnya dengan sekolah-sekolah berstatus elit namun hanya kurang diberikan pendedahan serta peluang untuk menyerlah sahaja,” tambah Profesor Dato’ Ir. Abdul Rahman.

DSC 3007

DSC 2974

Selain daripada itu, Naib Canselor itu turut menyatakan bahawa pelaksanaan lebih banyak program seperti ini yang tidak mensasarkan kepada sekolah-sekolah tertentu sahaja ini sebenarnya perlu dimulakan dengan libatsama daripada industri.

“Seperti yang kita maklum, walaupun mereka ini akan memula perjalanan mereka di USM sebagai pelajar, namun, sebaik sahaja tamat pengajian, mereka akan menempatkan diri masing-masing di industri.

“Oleh yang demikian, kita berharap agar lebih banyak platform akan disediakan oleh industri sebagai ruang untuk kedua pihak secara bersama mencungkil bakat-bakat dalam bidang sains ini di masa akan datang kelak,” tambah beliau lagi.

DSC 2855

DSC 2912

Dekan PPKEE, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi dalam ucapan beliau menyatakan bahawa program yang diadakan ini merupakan kerjasama jaringan industri antara Micron Memory Malaysia dengan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE).

“Micron Foundation telah memberi tajaan sebanyak US10,000.00 kepada USM untuk melaksanakan program yang melibatkan murid-murid perempuan dari 20 buah sekolah menengah dalam bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan di negeri-negeri Zon Utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ini,” kata beliau.

“Malah, ianya juga merupakan kesinambungan kepada program-program yang telah dianjurkan sebelum ini secara dalam talian semasa Covid-19 melanda iaitu Introduction to Arduino Uno (13 Januari 2021), Pitching Challenge (30 Mac 2021) dan Introduction to Pthyton (5 Mac 2022) dan telah mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pengiktirafan penglibatan ko-kurikulum pelajar sekolah peringkat kebangsaan,” tambah Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman