Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PERPUSTAKAAN KEJURUTERAAN ANJUR BERSAMA PROGRAM "JOM BACA BERSAMA 10 MIN", CIPTA REKOD SEBAGAI MOST PARTICIPANT IN A SIMULTANEOUS BOOK REVIEW DALAM MALAYSIA BOOK OF RECORDS

20230518 113127 01

NIBONG TEBAL, 18 Mei 2023 – Perpustakaan Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini berjaya menjadi sebahagian daripada yang menyertai penganjuran program “Jom Baca Bersama 10 Minit” dan seterusnya mencipta nama sebagai Most Participant in A Simultaneous Book Review dalam Malaysia Book of Records.

20230518 111527

Menurut Timbalan Ketua Pustakawan Kampus Kejuteraan USM, Puan Radia Banu Jan Mohamad, program ini merupakan anjuran Perpustakaan Negara Malaysia dan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara yang bukan sahaja melibatkan perpustakaan universiti, perpustakaan awam, perpustakaan sekolah malah Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia juga.

“Dari pihak USM, program ini merupakan anjuran bersama antara Perpustakaan Kampus Kejuruteraan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dengan kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang serta Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAP),” kata beliau.

“Program tahunan ini pada mulanya ditetapkan pada 23 April 2023 yang lalu, akan tetapi, memandangkan kita sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada waktu itu, ianya ditetapkan semula pada hari ini, 18 Mei 2023.

“Antara objektif program pula adalah untuk membudayakan amalan membaca dari kalangan masyarakat atau kita sebut sebagai K-Society (Knowledge Society) tanpa mengira umur mereka.

20230518 105651 1

 

“Oleh kerana itulah, seperti yang kita dapat lihat, program ini mendapat kerjasama dari pelbagai pihak seperti BHEPA untuk penglibatan pelajarnya manakala Pusat Islam pula dijemput untuk penyertaan dari kanak-kanak taskanya,” sambung beliau.

“Semoga program hari ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak kerjasama penganjuran program antara perpustakaan dan jabatan-jabatan lain di USM demi manfaat mahasiswa serta mahasiswinya,” tambah Radia Banu.

20230518 111942

Bagi Pengarah Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC), Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad yang merupakan jemputan khas perpustakaan telah menzahirkan rasa sukacita beliau di atas penganjuran program ini dan menyifatkan bahawa amalan membaca itu sendiri adalah sebahagian dari asas kehidupan.

“Demi mewujudkan budaya membaca ini di USM terutamanya dari kalangan pelajar, saya menyarankan agar diadakan program seperti ini secara bulanan pula selepas ini.

“Melalui penganjurannya kelak walau cuma 10 minit diharap akan memberikan satu nilai pembacaan yang bermanfaat sambil membina karakter mereka terutamanya apabila melihat peranan perpustakaan universiti itu sendiri dalam membentuk diri pelajar melalui budaya membaca,” tambah beliau.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Ihsan Perpustakaan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia