KAMPUS KEJURUTERAAN USM SERTAI KAYUHAN AMAL LIVE TO MOVE 2023, TANDA SOKONGAN KEPADA PERSATUAN ORTHOPEDIK MALAYSIA
BAYAN LEPAS, 14 Jun 2023 - Unit Sukan bersama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kejuruteraan hadir memberi sokongan kepada Persatuan Orthopedik Malaysia dengan menyertai Kayuhan Live to Move 2023 di Spice Arena hari ini.
Kayuhan ini dianjurkan untuk memberikan sumbangan kepada Yayasan Arthritis Malaysia dan sehingga akhir program, ianya telah berjaya mengumpulkan sebanyak Ringgit Malaysia 20,000 yang telah disalurkan terus sebagai satu bentuk bantuan kepada pesakit-pesakit athritis di Malaysia.
Ketua Unit BHEPA Kampus Kejuruteraan, Encik Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar menyampaikan ucapan tahniah kepada semua peserta terlibat yang terdiri bukan sahaja dari kalangan kakitangan Kampus Kejuruteraan, malah, dari seluruh Malaysia juga.
“Semoga aktiviti seperti ini akan menjadi satu kaedah dalam meringankan beban pesakit dan seterusnya membantu persatuan dalam mengumpulkan dana kepada mereka-mereka ini,” kata beliau.
Encik Eddie Norshamshidi Abd Rashid selaku penyelaras program dari pihak USM turut melahirkan rasa syukur beliau kerana berjaya membawa dan melibatkan universiti dalam aktiviti kayunan ini di mana sokongan yang diberikan jelas membawa manfaat tersendiri kepada program ini.
“Saya berharap agar program ini ini dapat mewujudkan kesedaran umum kepada masyarakat akan program-program anjuran oleh Persatuan Orthopedik Malaysia yang merupakan salah satu usaha mereka untuk membantu pesakit-pesakit athritis di luar sana,” kata Encik Eddie.
“Malah, komitmen serta semangat tinggi para peserta juga wajar dipuji kerana walaupun dalam keadaan cuaca hujan, mereka tetap meneruskan kayuhan sehingga titik penamat,” tambah beliau.
Kayuhan yang diadakan ini bermula di Spice Arena sebelum seterusnya peserta berkayuh mengelilingi Kawasan sekitar dengan jarak sejauh 90km.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Sumbangan BHEPA Kampus Kejuruteraan