Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM LANCARKAN REVOLUSI PENGURUSAN KEWANGAN TERKINI: SISTEM MAKLUMAT KEWANGAN USM (FIS@USM)

USM PULAU PINANG, 11 September 2023 - Jabatan Bendahari, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) USM bersama Century Software (M) Sdn. Bhd. dan Ikhlas Kekal Sdn. Bhd. hari ini telah merealisasikan Sistem Maklumat Kewangan Universiti, Financial Information System USM (FIS@USM>) bagi menggantikan sistem pengurusan kewangan (efas) yang sedia ada.

FIS@USM berperanan menghubungkan setiap aplikasi dan program yang dibangunkan secara ‘in-house’ dan ‘off-shelf’ yang mana setiap transaksi kewangan terlibat dan setiap data kewangan di pusat tanggungjawab (PTJ) USM akan dihubungkan terus kepadanya.

Tujuan pelaksanaan sistem ini adalah untuk memastikan pengurusan kewangan USM berada di tahap telus, datanya tepat dan benar, pengurusan tadbirnya berada di tahap terbaik, dan seterusnya membantu pihak pengurusan universiti membuat keputusan dengan cepat dan tepat.

Hadir bagi merasmikan majlis adalah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU) USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin.

WhatsApp Image 2023 09 11 at 11.58.07

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, beliau yakin pelaksanaan sistem FIS@USM ini dapat memberi impak kepada pembangunan sistem kewangan digital yang mencakupi hampir keseluruhan prosesnya, kelak diyakini mampu menyakinkan masyarakat di luar sana bahawa USM telah mula mencapai piawai yang mampu berdaya saing serta membawa perubahan positif kepada kelestarian alam.

“Setiap dari proses yang dilakukan ini pastinya menyumbang kembali kepada pencapaian matlamat Sustainable Development Goals (SDG) Universiti, yang mana ianya melibatkan SDG 8 – Decent Work and Economic Growth; SDG 11 – Sustainable Cities and Communities dan SDG 12 – Responsible Consumption and Production serta pelbagai lagi yang boleh dipelopori,” katanya.

Sementara itu, Bendahari USM, Rafizal Abd Rahim dalam ucapannya berkata, FIS@USM merangkumi 16 modul keseluruhan dengan sokongan modul Sistem e-Perolehan, yang mana gabungan kerjasama erat bersama dua buah syarikat swasta ini bukanlah sesuatu yang mudah apabila ianya melibatkan perbezaan ideologi, pemahaman serta kemahiran dalam pembangunan program, perisian aplikasi komputer dan penggunaan bahasa yang berbeza.

“Saya menyeru setiap warga USM untuk bersama-sama menyokong FIS@USM yang akan mula dilaksanakan pada 1 Oktober 2023. Pihak Bendahari USM bersama rakan-rakan strategiknya akan bersama-sama memacu agenda merancakkan inovasi dan memperkasakan ekosistem digital USM yang berkesan,” kata Rafizal.

Majlis tersebut turut meraikan serta menghargai jasa dan bakti mantan-mantan Bendahari USM dalam memimpin organisasi tersebut sepanjang perkhidmatan mereka.

Mereka yang diraikan adalah Bendahari USM Ketiga, Hajah Mawan Nooraini Ismail; Bendahari USM Keempat, Hajah Salmiah Che Puteh; Bendahari USM Kelima, Ts. Dr. Rohayati Mohd Isa dan Bendahari USM Keenam, Haji Kamarul Ariffin Ngah.

WhatsApp Image 2023 09 11 at 11.58.08

Turut diselitkan dalam majlis adalah penyampaian ‘mock check’ Zakat dan sumbangan korporat daripada Maybank, Bank Islam Malaysia, Ikhlas Kekal Sdn. Bhd. dan Century Software (M) Sdn. Bhd.

WhatsApp Image 2023 09 11 at 11.58.10

Majlis juga menyaksikan sesi taklimat ringkas overview FIS@USM> yang menjelaskan tentang pembaharuan sistem perakaunan USM.

Hadir sama dalam majlis adalah Ahli-ahli Lembaga Gabenor USM; Pengurusan Tinggi USM; Pengarah PPKT USM, Ahmad Fadhlul Irham Yusoff; Pengarah Urusan Century Software, Ameer Shaik Mydin; dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ikhlas Kekal Sdn. Bhd., Badlisham Talhah.

WhatsApp Image 2023 09 11 at 11.58.11

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim