USM DAN CIDB MALAYSIA BEKERJASAMA ANJUR KURSUS PENTAULIAHAN FASILITATOR MyCREST
NIBONG TEBAL, 14 September 2023 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia telah menganjurkan kursus pentauliahan fasilitator bagi ‘The Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability Tool’ (MyCREST) dari 12-14 September 2023.
MyCREST yang dilancarkan pada 2015 bertujuan untuk membimbing, membantu, mengukur, dan mengurangkan kesan alam sekitar dalam industri pembinaan di Malaysia dari segi pengurangan pelepasan karbon dan kesan alam sekitar, dengan mengambil kira kitaran hayat yang lebih holistik meliputi fasa reka bentuk, pembinaan, dan peringkat operasi dan penyelenggaraan.
Antara tujuan utama kursus ini untuk mengintegrasikan pertimbangan sosio-ekonomi yang berkaitan dengan persekitaran yang dibina dan pembangunan bandar mampan di samping meningkatkan pengetahuan serta kemahiran perserta dalam pengunaan MyCREST.
Melalui kursus ini, kesemua peserta perlu melalui proses penilaian yang ditetapkan oleh pihak CIDB sebelum layak ditauliahkan sebagai Profesional Berkelayakan MyCREST.
Timbalan Dekan Akademik PPKA, Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Ashraf Mohamad Ismail berkata, usahasama ini merupakan langkah pertama USM ke arah penyediaan graduan yang cakna tentang keperluan penggunaan sustainability rating tool dalam industri pembinaan di Malaysia.
“Ianya adalah yang sejajar dengan Construction 4.0 Strategic Plan (2021 – 2025) oleh CIDB Malaysia dan Low Carbon City Framework, Malaysia,” kata beliau.
Kursus pentauliahan yang berlangsung di Bilik Seminar 1, PPKA telah disertai seramai 50 orang peserta daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Pusat Pengajian Elektrik & Elektronik, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan & Perancangan serta Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC).
Selain itu, kursus ini juga telah berjaya menarik penyertaan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Kursus ini telah disampaikan oleh, Pengurus Unit Alam Sekitar di Bahagian Keselamatan & Kesihatan, Alam Sekitar Dan Kualiti (SHEQ), CIDB Malaysia, Ts. Fuhairah Ahmad Fuad dan Pensyarah Kanan dari Fakulti Senibina Dan Ekistik, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Ar. Ts. Mohd Hazwan Bin Hamidi.
Kepelbagaian latar belakang bidang kepakaran peserta dari kalangan jurutera dan pembuat dasar telah berjaya mengetengahkan perbincangan serta pandangan yang lebih holistik dalam mengintegrasikan pertimbangan sosio-ekonomi yang berkaitan dengan persekitaran yang dibina ke arah pembangunan bandar mampan sepanjang berlangsungnya kursus selama tiga hari ini.
Teks dan Foto: Ihsan CoMU@SoCE, USM