JAWATANKUASA PROGRAM HANDS-ON DAN INOVASI SAINS DI SEKOLAH RENDAH LUAR BANDAR SEKITAR KEDAH ANJUR BENGKEL MICROSOFT EXCEL BERSAMA DUA SEKOLAH
NIBONG TEBAL, 18 September 2023 – Jawatankuasa Program Hands-on dan Inovasi Sains di Sekolah Rendah Luar Bandar sekitar Kedah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Microsoft Excel.
Diadakan di Makmal Komputer PPKBSM, projek bersama komuniti ini telah melibatkan penyertaan daripada 45 orang guru dari dua buah sekolah terplih iaitu Sekolah Rendah Bandar Baharu dan Sekolah Rendah Permatang Pasir, Kedah.
Salah seorang guru yang terlibat, Noor Farhana Mohd Musai (32) dari Sekolah Rendah Permatang Pasir berkata bengkel ini sangat menarik kerana ianya memberi pendedahan kepada para peserta untuk meneroka sendiri secara langsung fungsi-fungsi yang terdapat dalam perisian ini.
“Malah, bengkel selama dua jam ini juga mendedahkan kami akan cara-cara untuk menggunakan fungsi Sum dan Kalkulator contohnya kerana sebelum ini saya hanya menggunakan Microsoft Excel ini untuk memasukkan serta mengemaskini data sahaja,” kata beliau.
Sharlili Abdul Hamid (48) pula menyatakan selain melengkapkan para peserta dengan kemahiran penting Microsoft Excel, tenaga pengajar juga berjaya mewujudkan suasana pembelajaran dua hala yang berkesan sepanjang ianya berlangsung.
“Cara beliau menyampaikan ilmu pada hari ini berjaya menghidupkan suasana antara peserta dan tenaga pengajar kerana ianya diselangselikan dengan lawak jenaka,” tambah beliau yang juga guru prasekolah dari Sekolah Rendah Permatang Pasir ini.