Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MAJLIS SELAUT BUDI SERIBU MEMORI KENANG 28 TAHUN JASA PROFESOR DATO’ DR. AHMAD FARHAN DI PPKA

DSC 7155

NIBONG TEBAL, 27 September 2023 – Hampir tiga dekad menabur bakti di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah diraikan oleh warga pusat pengajian tersebut dalam sebuah Majlis Selaut Budi Seribu Memori hari ini.

“Di PPKA, kita masing-masing bermula sebagai rakan sebaya sebelum akhirnya tumbuh cemerlang menjadi sebuah pasukan,” kata Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan ketika mengenang perjalanan beliau sejak tahun 1995 di pusat pengajian tersebut.

Menurut beliau, itu adalah rukun yang mempengaruhi pencapaian pusat pengajian di mana setiap individu bersama-sama meletakkan diri masing-masing sebagai sebahagian daripada pasukan dan mengelakkan situasi firefighting sesama sendiri.

DSC 7184

DSC 7155

Selain daripada itu, beliau turut menyeru agar semua warga PPKA bersatu hati sambil memberi sokongan penuh kepada Dekan serta EXCO dilantik untuk menjadikan pusat pengajian itu kekal cemerlang dari semasa ke semasa.

“Perlu ditekankan bahawa, mencapai kecemerlangan itu memang mudah tetapi untuk mengekalkan kecemerlangan itu perlu usaha serta pendekatan berterusan semua pihak sebagai satu pasukan,” kata beliau.

Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi & Libatsama Industri-Komuniti, Dr. Mustafasanie M Yussof dalam ucapan beliau mewakili Dekan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan atas khidmat kepakaran beliau selama 28 tahun di PPKA.

DSC 7214 DSC 7225 

DSC 7252 DSC 7258 

DSC 7260 DSC 7264

“Sejak 1995, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan telah berjaya memacu PPKA dan meletakkannya di posisi yang terbaik.

“Malah, sejak memulakan tugas di USM sebagai Felo RLKA lagi, beliau sentiasa berusaha untuk menjadikan PPKA sebagai pusat pengajian yang lebih baik,” kata Dr. Mustafasanie.

Dr. Mustafasanie turut menyatakan sokongan penuh PPKA kepada Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan dalam perjalanan baharu beliau sebagai Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2 Oktober akan datang.

Di USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM) dari tahun 2017 hingga 2021 dan Pengarah Kampus Kejuruteraan USM dari tahun 2016 hingga 2017 selain pernah dilantik sebagai Dekan PPKA sebanyak dua kali iaitu untuk tempoh 2007 hingga 2008 serta 2013 hingga 2016.

Turut hadir dalam majlis ini adalah Pengarah Kampus, Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin yang merupakan isteri kepada Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman