Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MUKA SAMA, KURSUS PUN SAMA! – KEMBAR SEIRAS ANTARA PELAJAR BAHARU KAMPUS KEJURUTERAAN SIDANG 2023/2024

 DSC 7283

NIBONG TEBAL, 8 Oktober 2023 – Pasangan kembar seiras dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang antara yang mendaftar masuk pada hari pertama pendaftaran pelajar baharu sidang 2023/2024 di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Apa yang lebih menarik, pasangan kembar, Hilma Yasarah Hussain dan Hilma Yasirah Hussain, 20 tahun akan mendaftar dalam bidang pengkhususan yang sama di bawah Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik iaitu Kejuruteraan Mekatronik.

Menurut Hilma Yasarah, minat terhadap kejuruteraan dipupuk seawal usia 15 tahun ketika mengikuti lawatan sambal belajar Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar ke Kampus Kejuruteraan pada waktu itu

DSC 7293

“Ketika sesi lawatan tersebut, kami di bawa mengellingi kampus dan diberi taklimat akan setiap kursus kejuruteraan yang ditawarkan di USM.

“Lawatan tersebut membawa satu titik perubahan akan minat kami terhadap bidang ini walaupun tidak pernah terlintas untuk memilihnya sebagai laluan ke universiti pada waktu itu,” tambah Hilma Yasirah.

“Tak sangka pula terpilih, dalam kursus yang sama pula tu!

“Apatah lagi Kejuruteraan Mekatronik merupakan pilihan pertama kami ketika membuat permohonan,” kata mereka lagi.

DSC 7291

Kakak kepada kembar tersebut, Hilza Zafirah Hussain (31) yang turut menghantar pasangan tersebut berkata, mereka memang tidak pernah berpisah sejak kecil lagi, bukan sahaja ketika di alam persekolahan, malah ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Kepala Batas sebelum ini juga.

“Mereka memang tidak pernah berenggang, keluar berjalan juga bersama, jika ada keadaan yang menyebabkan salah seorang tidak dapat pergi, pasti keduanya tidak akan pergi.

“Begitulah dekatnya hubungan adik ketiga dan keempat dari kami, empat bersaudara ini,” ujar Hilza.

Hilma Yasarah Hussain dan Hilma Yasirah Hussain merupakan sebahagian daripada 690 orang pelajar baharu yang mendaftar masuk di USM bagi sidang 2023/2024 kali ini.

Turut hadir menyambut kehadiran siswa siswi baru pada sidang kali ini adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin yang meluangkan masa untuk beramah mesra bersama mereka dan ibu bapa masing-masing.