Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

NC SERU PELAJAR MAIN PERANAN BERSAMA UNIVERSITI, BERJUANG BAIKI EKONOMI KELUARGA

DSC 8540

NIBONG TEBAL, 11 Oktober 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyeru pelajar untuk bersama-sama universiti, berjuang dalam menaik taraf ekonomi keluarga terutamanya dari kalangan B40.

Menurut beliau, daripada keseluruhan jumlah pelajar di USM, 60% daripadanya terdiri daripada mereka dalam kalangan B40 dan segulung ijazah akan mewujudkan peluang untuk masing-masing keluar daripada kepompong ekonomi tersebut.

“USM dan pelajar sama-sama memainkan peranan dalam menjayakan hasrat ini.

“Beberapa inisiatif turut disediakan, contohnya melalui program SULUNG iaitu Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia yang menawarkan yuran pengajian percuma kepada pelajar dalam kalangan B40,” kata Rahman.

DSC 8431 DSC 8489

DSC 8436 DSC 8439

Beliau yang berkata demikian ketika hadir menyampaikan amanat kepada 690 pelajar baharu sempena Minggu Siswa Lestari Kampus Kejuruteraan hari ini turut berharap agar siswa-siswi USM memanfaatkan tempoh masa empat tahun dalam menuntut ilmu di USM dan merealisasikan harapan keluarga sebaik bergraduasi nanti.

Dalam pada itu, Naib Canselor turut menekankan peranan lain USM yang sentiasa menititikberatkan kebajikan mahasiswanya dari segenap penjuru, sama ada dari sudut pengajaran, pembelajaran mahupun sudut kemudahan serta keselesaan.

“Di universiti ini, kesejahteraan dan keselesaan menjadi aspek penting yang sentiasa diperkasakan.

DSC 8595 DSC 8604

 DSC 8606 DSC 8637

DSC 8727 DSC 8745

“Contohnya dengan mewujudkan BRICKS, TETUPAI Lounge di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Student Lounge di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Bilik MEHebat di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik serta beberapa kemudahan lain di sekitar kampus demi keselesaan pelajarnya,” kata beliau.

“Malah, beberapa kemudahan juga telah dan sedang dinaik taraf sepanjang 2023 dan 2024 ini termasuk di desasiswa dan menara tangki air yang sedang dalam pembinaan,” kata Rahman.

“Kita juga sedang menuju ke arah pembangunan projek Gerbang Kejuruteraan, sebuah projek kerjasama USM dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB), demi membangunkan prasarana canggih untuk semua pihak, khususnya pelajar dan warga Kampus Kejuruteraan,” tambah beliau.

Pada akhir program, Naib Canselor, ditemani oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin turut meluangkan masa menyantuni serta bertemu secara bersemuka dengan semua pelajar baharu mengikut pusat pengajian masing-masing.