Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

BENGKEL KAFA TAHFIZ TRACK, MERINTIS LANDASAN GENERASI HAL EHWAL ISLAM MASA HADAPAN

DSC 0004 1

PULAU PINANG, 20 Oktober 2023 – Bengkel KAFA Tahfiz Track yang dianjurkan oleh Pusat Islam hari ini akan menjadi landasan perintis kepada generasi hal ehwal agama Islam masa hadapan khususnya di Universiti Sains Malaysia (USM).

Hadir merasmikan pelancaran bengkel ini, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin berkata, pendidikan berasaskan kepada Kelas Al-Quran & Fardu Ain (KAFA) memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan kanak-kanak.

DSC 9954

DSC 9984

 

“Namun demikian, kita juga perlu mewujudkan sebuah kaedah baharu dalam memastikan usaha Pusat Islam mendapat pengiktirafan selayaknya seperti yang lazimnya digariskan dalam kaedah pendidikan aliran perdana yang lain,” kata beliau.

“Ianya perlu dititikberatkan, apatah lagi dengan keupayaan mengagumkan pelajar-pelajar ini dalam menghafal juzuk-juzuk Al-Quran di KAFA sebelum mereka beralih ke fasa pendidikan di Sekolah Tahfiz contohnya.

“Melalui bengkel ini nanti, wujudkan satu kaedah baharu dalam memastikan hafalan anak-anak kita di peringkat KAFA diambil kira.

“Ianya bukan sahaja akan menentukan tahap penguasaan pelajar tersebut, malah memperkasakan pengajaran dan pembelajaran mereka di Sekolah Tahfiz itu juga,” tambah Azlina.

DSC 9982

DSC 9988

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman ketika membentangkan hala tuju Tahfiz Track Pusat Islam dalam perasmian bengkel tersebut berkata, PTJ itu berhasrat untuk melahirkan generasi hafazan Al-Quran berasaskan kepada sistem pendidikan yang lebih sistematik.

“Kita akan sedaya upaya cuba untuk mewujudkan satu landasan kepada hasrat ini.

“Cadangan kita adalah untuk ianya bermula seawal pendidikan anak-anak kita di Taska Hadhanah yang kemudiannya akan mereka sambung di peringkat Sekolah Rendah, ke Sekolah Menengah dan akhirnya ke peringkat Universiti,” kata Ustaz Shukri.

 DSC 0004 1

DSC 0012 1

Bengkel KAFA Tahfiz Track ini diadakan untuk memastikan pengajian tahfiz dalam pendidikan KAFA ditambah baik berdasarkan kepada input, inovasi dan kaedah baru yang akan dibincangkan sepanjang penganjurannya nanti.

Bengkel selama dua hari ini melibatkan penyertaan seramai 17 orang guru KAFA dari Pusat Islam Kampus Induk dan 15 orang dari Pusat Islam Kampus Kejuruteraan bersama-sama 50 orang pegawai, penolong pegawai dan staf, juga dari Pusat Islam di kedua-dua kampus.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman