Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

ISU KESELAMATAN DI TEMPAT KERJA PERLU DIPANDANG SERIUS – PENGARAH KAMPUS KEJURUTERAAN

DSC 0040

NIBONG TEBAL, 23 Oktober 2023 – Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin hari ini menyeru seluruh warga kampus untuk sentiasa memandang serius isu yang melibatkan keselamatan di tempat kerja.

Beliau yang berucap sempena ceramah Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Peringkat Kampus Kejuruteraan anjuran Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (UKKP) Kejuruteraan turut menyokong tema yang diketengahkan kali ini iaitu ‘Memupuk Budaya Kerja Sihat dan Selamat’.

DSC 0071

DSC 0039

“Budaya kerja sihat dan selamat bukan sahaja sentiasa relevan dengan semua malah, ianya juga mendidik kita untuk sentiasa peka kepada persekitaran kerja seharian masing-masing,” kata beliau.

 “Apabila melibatkan isu berkaitan keselamatan, kita perlu menjadi tegas.

“Namun, perlu juga kita sedar bahawa ianya tidak terhad kepada satu pihak tertentu sahaja, tapi semua yang terlibat di mana tanggungjawab ini perlu digalas serta dipikul secara bersama,” tambah Azlina.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar UKKP terus memperluas lagi usaha untuk mendidik, menyampaikan serta berkongsi maklumat berkenaan keselamatan kepada pihak pentadbiran kampus berbanding hanya terhad di peringkat Pusat Tanggungjawab pada masa ini.

DSC 0028

DSC 0046

Sementara itu, Encik Mohd Hafizul Mohd Arop, selaku Ketua Unit UKKP berkata, penganjuran program ini adalah sebahagian daripada sokongan untuk merealisasikan hasrat universiti untuk memupuk budaya kerja sihat dalam kalangan warganya.

“Sebahagian daripada aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program ini diharap dapat mewujudkan kesedaran dalam diri warga USM akan isu-isu berkaitan keselamatan dengan lebih mendalam lagi,” kata Hafizul.

Antaranya aktiviti lain yang diadakan sepanjang program ini adalah OSH Fun Run, Kawad Kebakaran Perdana, Sesi Online Coaching ‘Fundamental of Occupational Safety and Health Management System’ (OSHMS), Pertandingan OSH Corner@PTJ USM,      dan Pertandingan penyediaan video tiktok OSH Day USM.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman