Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PROGRAM KESIHATAN REMAJA SEJAHTERA (PKRS) KPT PRIHATIN MADANI PENUHI TANGGUNGJAWAB SOSIAL MASYARAKAT

DSC 4892

NIBONG TEBAL, 25 November – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan berjaya menganjurkan Program Kesihatan Remaja Sejahtera (PKRS) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin MADANI dalam memenuhi tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Pengarah Pusat Swa-Akreditasi, Profesor Dr. Azura A. Rashid yang mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan berkata, program ini selaras dengan Dasar Kesihatan Remaja Negara di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut beliau, program ini juga sebahagian daripada sokongan kepada Matlamat Kelestarian Global USM, khususnya SDG-3 iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan yang baik serta mendapat sokongan dana dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin Madani yang disalurkan kepada hospital-hospital Universiti, termasuk Hospital USM Kampus Kesihatan di Kubang Kerian.

DSC 4848 DSC 4820

DSC 4689  DSC 4684

“Sejak dimulakan, sebanyak 2000 pelajar tingkatan dua dari sekolah menengah di seluruh daerah Kerian telah disaring status kesihatan remaja masing-masing.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 150 orang terpilih untuk menyertai program yang bertujuan untuk memberi pendidikan kesihatan dan keselamatan reproduktif remaja, serta kesihatan mental pada hari ini,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ketua Unit Kesihatan Kampus Kejuruteraan, Dr. Farhi Abidin berkata, melihat kepada isu kesihatan mental, penggunaan bahan terlarang dan kehamilan bawah umur dari kalangan remaja yang semakin membimbangkan saban hari menjadi titik tolak kepada program hari ini.

“Ianya juga merupakan inisiati Unit Kesihatan dalam mewujudkan satu medium pendedahan yang berkesan kepada semua pihak khususnya berkaitan dengan isu kesihatan remaja,” kata beliau.

DSC 4839 DSC 4661

DSC 4646 DSC 4773

“Penganjuran ini diharap dapat membantu dalam mencapai objektif program, seterusnya memberikan impak positif kepada kesihatan dan kesejahteraan remaja, sejajar dengan misi untuk kita mencapai kelestarian global sambil sama-sama membangun dengan komuniti setempat,” tambah Dr. Farhi.

Berterima kasih kepada rakan-rakan kolaborasi dan pasukan Unit Kesihatan di atas komitmen diberikan, beliau turut berharap agar program hari ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak penganjuran seumpamanya yang berorientasikan kepada kesihatan remaja kelak.  

Selain Unit Kesihatan, program ini turut melibatkan kerjasama daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) Kampus Kejuruteraan USM.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman