Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KAMPUS KEJURUTERAAN USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI CAWANGAN KEJURUTERAAN AWAM DAN STRUKTUR JKR

DSC 6970

NIBONG TEBAL, 29 November 2023 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam hari ini menerima kunjungan hormat delegasi dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bagi menyempurnakan simbolik pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak.

Lawatan ini merupakan susulan daripada penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Forensic Structural Engineering Team (ForSET) Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM dan Cawangan Kejuruteraan dan Struktur Jabatan Kerja Raya JKR yang telah ditandangani pada 11 Julai lalu.

DSC 6871 DSC 6941

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin yang berucap pada majlis tersebut berkata, ForSET adalah sebuah unit yang ditubuhkan pada 1989, untuk memberikan perkhidmatan profesional dan perundingan berkaitan dengan penyiasatan kerosakan struktur kepada pihak industri serta jabatan-jabatan kerajaan.

“Penglibatan ForSET dan PPKA ini jelas mencerminkan komitmen USM untuk menyumbang secara bersama kepada pembangunan dan kemajuan bidang kejuruteraan khususnya dalam sektor-sektor yang berkenaan.

“Di sini, kita bukan sekadar berusaha untuk memimpin dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi, tetapi juga berusaha untuk menjadi sumber rujukan yang tidak terhad kepada industri semata tetapi juga jabatan-jabatan kerajaan lain seperti JKR,” tambah beliau.

“Semoga kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus berkembang, menjangkaui bidang-bidang kepakaran lain yang terdapat di USM yang akan mewujudkan potensi besar, selari dengan misi dan visi agensi masing-masing,” tambah Azlina.

DSC 6915 DSC 6931

Sementara itu, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur JKR, Ir. Noreha Nordin berkata, hasil usaha sama pembangunan akademik dan penyelidikan di sebalik MoU ini akan memperkasakan lagi teknologi industri pembinaan melalui pengadaptasian Revolusi Industri 4.0 negara.

“Objektif utama penandatangan MoU antara USM dan JKR ini pula adalah untuk kita sama-sama menjalankan kerjasama strategik penyelidikan, perundingan dan latihan profesional dalam bidang kejuruteraan forensik khususnya dengan melalui kepakaran ForSET dari PPKA,” kata Noreha.

“Kunjungan pada hari ini pula bukanlah berlandaskan kepada susulan daripada penandatangan MoU semata, tapi untuk kami melihat secara langsung kemudahan-kemudahan yang ditawarkan di USM Kampus Kejuruteraan.

DSC 6993 DSC 7139 

DSC 7166 DSC 7203 

“Pengalaman yang diperolehi sepanjang tiga hari ini akan membolehkan JKR merangka program-program kerjasama lanjut melibatkan ujian bahan, kajian penyelidikan dan perkongsian ilmu melalui perbincangan, taklimat, kursus dan ceramah kelak,” tambah beliau.

Berlangsung selama tiga hari dari 28 hingga 30 November, kunjungan hormat serta sesi lawatan ini melibatkan penyertaan seramai lebih 30 orang Ketua-ketua Jabatan, Jurutera-jurutera Kanan serta kakitangan dari Cawangan Kejuruteraan dan Struktur Jabatan Kerja Raya, JKR.