Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

39 ORANG PELAJAR SK PERMATANG PASIR SERTAI AKTIVITI ‘HANDS-ON’ BERASASKAN STEM ANJURAN PPKBSM

IMG 20231129 WA0036

BANDAR BAHARU, 29 November 2023 – Seramai 39 orang pelajar tahun lima dari Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir (SKPP), Kedah hari ini turut serta dalam aktiviti ‘Hands-On’ berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) anjuran sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM).

Guru penyelaras STEM SKPP, Puan Hairani Raduan (42) ketika ditemubual berkata, ianya baharu diperkenalkan di sekolah tersebut buat pertama kalinya pada tahun ini hasil inisiatif pengetua sekolah sebagai usaha untuk memupuk minat para pelajar terhadap mata pelajaran tersebut.

IMG 20231129 WA0027 IMG 20231129 WA0028 

“Kami di SKPP sangat berbesar hati dengan penganjuran program pada hari ini dan akan sentiasa mengalu-alukan lebih banyak kolaborasi bersama USM di masa akan datang terutamanya dalam aktiviti melibatkan pelajar secara langsung.

“Semoga ianya akan menjadi satu ruang permulaan serta pendedahan kepada pelajar untuk mempelajari perkara baharu khususnya dalam bidang-bidang berkaitan STEM,” kata beliau.

“Malah, kami turut berhasrat untuk memperkasakan serta menggalakkan lagi penyertaan pelajar SKPP dalam pelbagai program, aktiviti dan pertandingan berasaskan STEM di pelbagai peringkat selepas ini,” tambah Hairani.

IMG 20231129 WA0029 IMG 20231129 WA0030

Salah seorang daripada murid yang terlibat, Mohd Danish Syawal Ismail (11) berkata, beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap sains dan sentiasa memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek ini.

“Saya sangat teruja dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan sepanjang program hari ini.

“Aktiviti yang paling menarik perhatian saya adalah demostrasi pengarataan bahan. Seronok melihat tindakbalas yang terjadi sepanjang demostrasi tersebut dijalankan oleh para pensyarah sebentar tadi,” kata Danish.

Bagi Syarifah Azzahra Azfizan (11) pula, beliau sangat berminat dengan demostrasi berkaitan arus elektrik yang merupakan sebahagian daripada beberapa aktiviti yang dijalankan hari ini.

IMG 20231129 WA0034 IMG 20231129 WA0037

Bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera, Azzahra turut teruja dengan kepakaran para pensyarah dan pelajar Ijazah Tinggi PPKBSM terlibat, dalam menjalankan setiap demostrasi kepada beliau dan kawan-kawan.

“Mereka mesra dan terbuka dalam memberikan penerangan lanjut yang berkaitan, terutama ketika kami tidak faham serta mempunyai persoalan lanjut berkenaannya,” tambah Azzahra.

Aktiviti di SKPP ini merupakan sebahagian daripada projek komuniti sekumpulan pensyarah PPKBSM tersebut melalui Program Hands-on dan Inovasi Sains di Sekolah Rendah Luar Bandar sekitar Kedah di bawah Geran Libatsama Komuniti Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM).