Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

DEDIKASI SPACEIN DALAM INDUSTRI ANGKASA MELALUI PROJEK PEMBANGUNAN SISTEM SATELIT, PENANDATANGAN MOU DAN PELANCARAN AKADEMI ANGKASA ‘MICRO CREDENTIAL PROGRAM

WhatsApp Image 2023 12 07 at 8.14.48 PM

KUALA LUMPUR, 7 Disember 2023 –SpaceIn Sdn. Bhd., sebuah syarikat spin-off Universiti Sains Malaysia (USM) khusus dalam pembuatan satelit kecil dan perkhidmatan IoT satelit berdedikasi dalam industri angkasa melalui beberapa komitmen baharu iaitu projek Pembangunan Sistem Satelit untuk Pengurusan Perhutanan, Penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Harvest Sdn Bhd dan program Akademi Angkasa ‘Micro Credential’.

Berlangsung dalam satu majlis Hi-Tea Pelancaran Spaceant dan Showcase Teknologi anjuran oleh SpaceIn dan Digital Penang, pencapaian ini turut menarik perhatian Ketua Pengarah Angkasa Malaysia (MYSA), Tuan Haji Azlikamil Napiah.

Memetik ucapan beliau yang diwakilkan kepada Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal dan Operasi), Puan Nik Mazlina Nik Mustapha, MYSA sedar bahawa kunci bagi kejayaan pembangunan ekosistem teknologi angkasa di negara di mana ianya memerlukan usaha gigih serta berterusan dalam memperkasakan beberapa aspek penting.

“Antaranya dalam penguasaan teknologi, keupayaan penciptaan dan inovasi baharu, pembangunan bakat dan kepakaran tempatan, penggunaan teknologi secara optimum dan pembudayaan teknologi secara berterusan,” kata beliau.

Menurut beliau, selaras dengan pelaksanaan teras kedua Dasar Angkasa Negara (DAN) 2030 iaitu memacu Pembangunan sains dan teknologi angkasa serta membina kepakaran, MYSA turut berhasrat untuk bekerjasama dengan para akademia dan industri bagi membangunkan satu pelan pembangunan sumber manusia dalam Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDC&I) bagi sektor angkasa.

“Ianya bagi memastikan industri angkasa negara dapat mewujudkan sehingga 5000 peluang pekerjaan baharu dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan mencapai sasaran sebanyak 1% daripada KDNK negara menjelang 2030,” tambah Azlikamil.

WhatsApp Image 2023 12 07 at 8.14.46 PM

WhatsApp Image 2023 12 07 at 8.14.46 PM

Pada majlis yang sama, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, mewakili Naib Canselor USM menyatakan bahawa pencapaian SpaceIn mencerminkan tekad tinggi pakar di USM dalam menyampaikan pengetahuan dan kecekapan khususnya dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa.

“Dalam beberapa tahun ini, USM telah melibatkan diri dalam projek-projek yang signifikan, antaranya adalah seperti pembangunan modul pengawalan atitud untuk INNOSAT-1, penyelidikan dan pembangunan payload satelit untuk pengesanan awal gempa bumi,”

“Hari ini, USM juga sedang berusaha bersama SpaceIn dalam pembangunan satelit piko, salah satunya adalah melalui pelancaran satelit spaceANT-D di mana ianya bukan sekadar satu pencapaian untuk USM tetapi, akan turut membuka dimensi baru dalam kerjasama antara universiti dan industri,” kata beliau.

“USM juga memainkan peranan penting dalam penyediaan tenaga pakar dan bakat bidang kejuruteraan angkasa yang akan memberikan sumbangan signifikan kepada pertumbuhan industri angkasa Malaysia.

“Inisiatif USM ini kelak, akan menjadi teras menjayakan misi DAN2030 secara bersama di samping menjadi satu tanda aras kepada komitmen kukuh kami dalam menerajui eksplorasi angkasa negara ke peringkat yang lebih tinggi,” tambah Azlina.

Penandatanganan kontrak untuk membangunkan sistem pengesanan prototaip demi pengurusan hutan SpaceIn untuk Planters International Berhad adalah termasuk, pembangunan satelit pertama Planters International Berhad, sebuah projek dua tahun dengan nilai kontrak sebanyak RM1 juta manakala penandatangan MoU dengan Harvest Sdn Bhd pula bertujuan untuk membangunkan Sistem IoT Satelit untuk pertanian yang memfokuskan kepada perladangan durian.

Program Akademi Angkasa ‘Micro Credential’ pula merupakan satu kerjasama USM, SpaceIn dan Apadilangit yang direka bentuk untuk memberi pemahaman menyeluruh tentang teknologi satelit, meliputi topik kritikal seperti reka bentuk, pembangunan dan operasi kepada pelajar.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan SpaceIn Sdn. Bhd.