Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

DRONECUBATOR@USM PERKENAL PELAJAR ZON UTARA KEPADA TEKNOLOGI DRON BERLANDASKAN STEM DAN TVET

DSC 7719

NIBONG TEBAL, 13 Disember 2023 - Dronecubator@USM yang dilancarkan di sini hari ini akan menjadi satu medium untuk memperkenalkan pelajar kepada teknologi berlandaskan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dalam ucapan perasmiannya berkata, Dronecubator@USM adalah pusat pembangunan dan latihan sukan dron untuk pelajar sekolah, pelajar universiti dan belia di zon utara.

Menurut beliau, program ini ditaja sepenuhnya oleh Futurise melalui kolaborasi dengan rakan teknikal Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) dan rakan strategik CREST dan Malaysian Technical Doctorate Association (MTDA).

DSC 7636

DSC 7667

“Seramai 30 pelajar USM telah diberi latihan intensif pemasangan dan penerbangan dron manakala 20 pelajar lagi sedang menjalani latihan pada hari ini di mana mereka ini kelak akan menjadi tenaga pengajar bagi sekolah-sekolah dan belia di zon utara,” kata Azlina.

“Selain daripada itu, USM juga sangat menyokong program yang memberi penekanan dalam bidang STEM dan TVET.

“Ianya penting bagi melahirkan pelajar yang lebih inovatif, sekali gus memberi keupayaan untuk mereka mencipta lebih banyak produk-produk alternatif berasaskan pengunaan dron di masa akan datang,” tambah beliau.

DSC 7690

DSC 7759

Dalam pada itu, Pengurus Projek Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara Futurise Sdn. Bhd., Encik Mohd Fauzi Mohd Ariff ketika ditemubual berkata, selain daripada memperkenalkan STEM dan TVET kepada pelajar, pihaknya turut bercadang untuk memperluaskan ekosistem dron kepada umum dan bukan terhad kepada pihak-pihak tertentu sahaja.

“Pada tahun hadapan, kita juga akan mula membuka peluang tajaan daripada syarikat-syarikat serta para pemain industri yang berminat untuk sama-sama terlibat dalam program ini.

DSC 7682 DSC 7729 

DSC 7745 DSC 7742

“Tajaan yang diterima ini akan mewujudkan lebih banyak pelaksanaan program-program berkaitan terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah,” kata beliau.

“Atas permintaan yang tinggi, kelak, kami turut bercadang untuk melancarkan Dronecubator ini ke institusi-institusi pengajian tinggi yang lain di Selatan dan Timur Malaysia,” tambah Fauzi.

Turut hadir dalam majlis pelancaran ini adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Bin Sundi @ Suandi.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman