PELAJAR DARI KURSUS KOKURIKULUM KEJURUTERAAN TUNJUK BAKAT DI PROGRAM PAMERAN STATIK DAN MALAM KEBUDAYAAN
NIBONG TEBAL, 21 Disember 2023 – Program Pameran Statik dan Demo Kursus Kokurikulum Berkredit serta Malam Kebudayaan anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama kursus Pengurusan Acara (WSC 127) baru-baru ini menjadi pentas tunjuk bakat kepada semua pelajar yang terlibat.
Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan USM, Mejar (K) Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor yang hadir merasmikan program tersebut berkata, ianya akan menjadi ruang untuk pelajar mencerminkan bakat mereka sambil menonjolkan semangat kerjasama antara satu sama lain.
“Acara ini juga telah berjaya mempamerkan semangat dan kesungguhan luar biasa pelajar kursus-kursus unit kokurikulum kita di kejuruteraan, apatah lagi dengan bimbingan daripada tenaga pengajar berpengalaman masing-masing,” kata Salman.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang terlibat dalam penganjuran acara pada hari ini dan ianya diharap akan menjadi inspirasi kepada semua akan usaha kita dalam mewujudkan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum universiti,” tambah beliau.
Kursus-kursus yang terlibat dalam Pameran Statik & Demo Kursus Kokurikulum Berkredit adalah Taekwondo (WSC115), Catan (WCC103), Kraftangan (WCC110), Seni Memasak (WCC122), Seni Fotografi SLR Digital (WCC130), Pengucapan Awam Bahasa Inggeris (WEC103E) dan Kelestarian (WSU101).
Bagi malam Kebudayaan pula, kursus-kursus yang terlibat adalah Koir (WCC109), Teater Moden (WCC117), Seni Silat Cekak Malaysia (WCC123, WCC223, WCC323), Karate (WSC108. WSC208, WSC308), Senamrobik (WSC113) dan Gitar (WCC107).
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman