Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PDMSI-LM TAWAR KELEBIHAN DALAM DUNIA PEKERJAAN SAMBIL TINGKATKAN PROSPEK KERJAYA GRADUAN

DSC 1690

NIBONG TEBAL, 29 Februari 2024 – Professional Diploma in Mechanical Structure Integrity and Inspection with Lean Management (PDMSI-LM) yang ditawarkan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM) beri kelebihan dalam dunia pekerjaan sambil meningkatkan prospek kerjaya graduannya.

Berikut adalah yang dinyatakan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, mewakili Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Universiti Sains Malaysia (USM), pada majlis mini graduasi program tersebut yang diadakan di sini hari ini.

“Program yang direka secara khusus untuk individu dewasa kategori bekerja ini dirangka secara strategik bagi mengimbangi nilai ilmu sedia ada bersama-sama pengalaman kerja mereka dan disesuaikan dengan modul pengajaran, berlandaskan kepada bidang yang bersesuaian,” kata Azlina.

DSC 1709 DSC 1683

DSC 1747 DSC 1749

“Kaedah ini sekaligus dapat menambah pemahaman sambil menekankan kepada keupayaan pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam kerja harian masing-masing sebaik sahaja tamat pengajian,”.

“Malah, program ini juga relevan dengan keperluan masa kini, di mana tumpuan diberikan kepada kemahiran khusus yang berkaitan dengan industri tertentu, yang seterusnya memberi kelebihan kepada pelajar dalam dunia pekerjaan sambil meningkatkan prospek kerjaya masing-masing,” tambah beliau.

Dalam majlis graduasi ini, seramai 20 orang graduan yang terdiri dari kakitangan Penang Port Sdn. Bhd. berjaya menamatkan pengajian serta pembelajaran yang berlangsung hanya pada hujung minggu, dalam tempoh setahun di PPKM, Kampus Kejuruteraan USM ini.

Sementara itu, Ketua Divisyen Operasi, mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd, Encik Syamsyul Helmy Mohd Rafiaee dalam ucapannya berkata, ianya adalah momen yang membanggakan apabila melihat para graduan bergraduasi sambil ditemani ahli keluarga masing-masing.

DSC 1731 DSC 1756 

DSC 1758 DSC 1768

“Semoga ilmu yang diperolehi di PPKM USM ini akan menjadi ilmu bermanfaat untuk semua dan kemudian, boleh dipraktikkan semasa menjalankan tugas di tempat kerja kelak,” kata beliau.

“Jasa baik PPKM dalam menyediakan program seperti ini juga amat kami hargai dan dengan rasa besar hati, saya ingin menyatakan kesediaan Penang Port Sdn. Bhd. dalam menawarkan sebarang bentuk kemudahan di organisasi kami untuk digunakan USM jika diperlukan kelak,” tambah Syamsyul.

Selain daripada itu, dedikasi yang ditunjukkan oleh para graduan turut menarik perhatian Dekan PPKM, Profesor Madya Dr. Jamaludin Abdullah.

DSC 1798 DSC 1780

DSC 1782 DSC 1805

“Secara peribadi, saya sangat kagum dengan komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan para graduan sepanjang menyambung pengajian walaupun terpaksa berkorban masa bersama keluarga masing-masing,” kata Jamaludin.

“Kepada Penang Port Sdn. Bhd., setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan di atas kerjasama dan kepercayaan yang telah diberikan kepada kami di sini.

“Program yang tertunda akibat wabak Covid-19 sebelum ini akhirnya berjaya kita laksanakan dan saya berharap agar ilmu yang dikongsikan oleh tenaga pengajar kami di sini akan memberi manfaat kepada organisasi selepas ini,” tambah beliau.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman