KAMPUS KEJURUTERAAN USM TANAM 1500 POKOK SEBAGAI SOKONGAN KEPADA PROGRAM PENANAMAN SATU JUTA POKOK DI NEGERI PULAU PINANG SEMPENA "EARTH DAY 2024"
NIBONG TEBAL, 22 April 2024 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) mempamerkan sokongan kepada Program Penanaman Satu Juta Pokok di Negeri Pulau Pinang Sempena “Earth Day 2024” dengan menanam 1500 anak pokok di Kawasan sekitarnya pada hari ini.
Penanaman ini telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin yang turut hadir bersama dengan Dekan-dekan, Ketua-ketua Jabatan, staf dan 150 orang pelajar dari keenam-enam pusat pengajian kejuruteraan.
“Mewakili seluruh warga Kampus Kejuruteraan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia atau Forest Research Institute Malaysia (FRIM) atas sumbangan pokok yang diberikan,” kata Azlina.
“Untuk makluman, 1000 anak pokok kelapa pandan yang kita tanam hari ini adalah sumbangan Jabatan Pertanian manakala 500 anak pokok limau kasturi adalah sumbangan FRIM,”.
“Selain memiliki potensi untuk dicatat dalam The Malaysian Book of Records melalui objektif yang diharapkan, penyertaan kita pada hari ini juga adalah satu bentuk solidariti terhadap komitmen USM dalam menjaga kelestarian alam,” tambah beliau.
Menurut Azlina lagi, program ini pada awalnya telah diumumkan pelancarannya oleh Tuan Yang Terutama Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak sebagai bagian dari inisiatif menyambut Earth Day 2024 untuk mengawal pemanasan global.
“Projek ini bertujuan untuk memelihara serta memuliharakan biodiversiti, di samping memitigasikan impak daripada perubahan iklim selari dengan usaha dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,”.
“Usaha yang dikelolakan oleh Yayasan Amal YDP Pulau Pinang ini juga adalah selaras dengan pematuhan kepada kehendak Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 11) untuk masa depan negara yang lebih lestari,” tambah beliau.
Azlina berharap agar program ini akan memberi manfaat, bukan sahaja kepada warga Kampus Kejuruteraan USM khususnya, malah, masyarakat umum secara keseluruhan juga.
“Semoga ianya akan dapat melindungi dan mengembalikan ekosistem semula jadi kita, seterusnya membawa kehijauan kepada komuniti serta kelestarian alam sekitar di masa akan datang,”.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman