Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PERTANDINGAN INOVASI SAINS ANTARA SEKOLAH RENDAH ANJURAN SEKUMPULAN PENSYARAH PPKBSM DORONG KREATIVITI DAN INOVASI DI KALANGAN PELAJAR

DSC 3741

BANDAR BAHARU, 24 April 2024 – Pertandingan Inovasi Sains antara Sekolah Rendah sekitar Daerah Bandar Baharu anjuran sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini diharap akan mendorong kreativiti serta inovasi dalam kalangan murid terlibat.

Selain daripada bertujuan untuk mewujudkan minat murid dalam mengemukakan ciptaan berlandaskan bidang sains dan teknologi melalui aktiviti yang inventif, inovatif, dan kreatif, pertandingan ini juga menjadi platform dalam mengetengahkan bakat rekacipta dan inovasi dalam diri masing-masing, sejajar dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia.

DSC 3698 DSC 3702 

DSC 3708 DSC 3726

Mewakili Pegawai Pendidikan Daerah(PPD) Kulim Bandar Baharu, timbalannya yang juga Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Pembelajaran, Puan Hasmah Abdullah dalam ucapan beliau menekankan kepentingan dalam menghubungkan pembelajaran di dalam kelas dengan aplikasi praktikal melalui pertandingan ini.

“Semoga semua yang terlibat dapat merealisasikan pengetahuan yang diperoleh daripada buku teks dan pengajaran di dalam kelas kepada produk ciptaan masing-masing,” kata beliau.

“Malah, kami di PPD menyambut baik usaha USM memperkasakan bidang TVET (Pendidikan Teknik dan Vokasional) dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dalam kalangan murid, seawal usia mereka di sekolah rendah seperti ini,” tambah Hasmah.

DSC 3728 DSC 3732

DSC 3763 DSC 3768

“Saya juga berharap ianya akan dapat menanam minat dan meningkatkan kecekapan murid, terutamanya dalam bidang-bidang berkaitan selepas ini,”.

Di majlis yang sama, Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa PPKBSM, Profesor Madya Dr. Nurulakmal Mohd Sharif dalam ucapan beliau menggariskan kebimbangan terhadap trend semasa berkaitan dengan kuota murid, khususnya dalam bidang berkaitan sains.

“Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang bertanggungjawab dalam melahirkan para profesional dan ilmuwan dalam bidang sains, USM mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan kelangsungan dan keunggulan bidang ini kelak,” kata beliau.

“Besar harapan saya untuk melihat adik-adik yang terlibat dalam program hari ini, sebagai pelapis dan penerus legasi kami, demi kesinambungan serta penguasaan warga Malaysia dalam bidang ini pada masa hadapan,” tambah Nurulakmal.

DSC 3848 DSC 3837 

DSC 3827 DSC 3876

Diadakan di Dewan Al-Khazini, Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Kedah, pertandingan ini merupakan tajaan geran libatsama universiti-komuniti BJIM 2023 melibatkan penyertaan daripada 11 pasukan yang terdiri daripada murid Tahun 5 hingga 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, SK Bandar Baharu, SK Sungai Kechil Ulu, SK Permatang Kerat Telunjuk, dan SK Relau.

Pensyarah serta kakitangan PPKBSM yang terlibat pula adalah Dr. Syazana Ahmad Zubir (Ketua Projek),Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Anasyida Abu Seman @ Hj Ahmad, Dr. Shah Rizal Kasim, Encik Khairul Nasrin Bin Abas, Encik Mohd Azam Bin Rejab, Puan Kamsiah Binti Ishak dan Cik Ummi Hani Binti M.Rozlin

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman