Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KUMPULAN B DARI SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI KECHIL ULU JOHAN PERTANDINGAN INOVASI SAINS ANTARA SEKOLAH RENDAH DI SEKITAR DAERAH BANDAR BAHARU ANJURAN PPKBSM USM

DSC 3848

NIBONG TEBAL, 25 April 2024 – Kumpulan B dari Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil Ulu berjaya menjadi johan dalam pertandingan Inovasi antara Sekolah Rendah di Sekitar Daerah Bandar Baharu anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) Universiti Sains Malaysia (USM).

Di bawah tajaan geran libatsama universiti-komuniti BJIM 2023, pertandingan ini berjaya menghimpunkan penyertaan daripada 11 pasukan yang terdiri daripada murid Tahun 5 hingga 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir, SK Bandar Baharu, SK Sungai Kechil Ulu, SK Permatang Kerat Telunjuk, dan SK Relau.

Pengarah Projek, Dr. Syazana Ahmad Zubir berkata, beliau berharap agar pertandingan ini dapat meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains dan kejuruteraan.

DSC 3705

“Ianya adalah selaras dengan aspirasi negara untuk meningkatkan bilangan pelajar yang mengikuti bidang ini pada masa hadapan, seterusnya membantu dalam membentuk nilai kepimpinan serta inovasi dalam diri masing-masing juga,” ujar beliau.

Merupakan inisiatif sekumpulan pensyarah dari PPKBSM USM, pertandingan ini adalah bertujuan untuk menggalakkan minat murid dalam reka cipta berdasarkan kepada bidang sains dan teknologi melalui aktiviti yang inventif, inovatif, dan kreatif.

Malah, pertandingan yang berlangsung di Dewan Al-Khazini, Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Kedah ini juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti bakat-bakat dalam kalangan murid sekolah rendah, selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia.

Guru pengiring SK Sungai Kechil Ulu, Cikgu Azratul Husna Azuddin (42) ketika ditemui selepas pertandingan berlangsung berkata, ini merupakan penyertaan serta jemputan pertama sekolah tersebut dalam pertandingan seperti ini.

“Pertandingan ini bukan sekadar melatih mereka untuk menjadi lebih kreatif dalam reka cipta, ia turut menjadi platform terbaik kepada semua yang bertanding untuk mengasah kemahiran komunikasi masing-masing khususnya semasa pembentangan produk dijalankan di hadapan juri,” kata beliau.

“Semoga ianya akan menjadi landasan kepada murid untuk terus berinovasi, seterusnya membuka laluan serta minat mereka kepada bidang-bidang kritikal seperti ini di masa akan datang,” tambah Azratul.

DSC 3722

Bagi ahli kumpulan B SK Sungai Kechil Ulu, Muhammad Irfan Qudri Khairol Idham (12), Muhammad Hadizzaquan Mohd Nazrisham (12), Mohd Qusyairy Abdul Latif (12) dan Muhammad Rayyan Wafiy Abdullah pula tidak menyangka akan beroleh kemenangan melalui idea Automatic Feeding Device mereka.

“Terima kasih kami ucapkan kepada para guru, ibu bapa serta rakan-rakan yang telah menyokong usaha serta penyertaan kami dalam pertandingan ini,”.

Dengan tema "Bekas makanan haiwan dari bahan kitar semula", pertandingan ini memaparkan aspek penting dalam kelestarian alam dan pengurangan sisa bahan makanan sambil menggalakkan peserta untuk mencipta produk yang tidak hanya bermanfaat bagi haiwan tetapi juga mengurangkan pencemaran alam.

Tempat kedua pertandingan dimenangi oleh Kumpulan A dari SK Relau manakala tempat ketiga turut dimenangi oleh SK Sungai Kechil Ulu, Kumpulan A.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman