STATUS SEBAGAI PELAJAR DAN KEPERIBADIAN YANG TERPUJI PERLU SEIRING – TNC HEPA
NIBONG TEBAL, 12 Oktober 2022 – Secara rasmi telah menjadi sebahagian daripada warga Universiti Sains Malaysia (USM), mahasiswa serta mahasiswa baharu Kampus Kejuruteraan perlu memastikan status yang disandang sejajar dengan keperibadian masing-masing.
Perkara berikut merupakan sebahagian daripada amanat yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Azlinda Azman dalam satu sesi khas beliau dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sempena Program Siswa Lestari hari ini.
“Selain daripada berpegang kepada imej USM sebagai gedung untuk anda menuntut ilmu, pelajar juga perlu berusaha untuk menjadi insan serta warganegara Malaysia yang baik, berbudi pekerti tinggi yang semestinya dapat menyumbangkan kepada negara suatu hari nanti,” kata Azlinda.
“Pelajar juga perlu sentiasa bersiap sedia, bukan sahaja dalam meneroka nilai-nilai H.E.B.A.T universiti tetapi juga menerapkan nilai tersebut untuk seterusnya menjadi insan yang hebat.
“Elemen-elemen yang ditekankan universiti dalam nilai H.E.B.A.T ini kelak akan menonjolkan personaliti berbeza dalam diri anda dan ia akan menzahirkan definisi individu bergelar pelajar yang ingin dibentuk oleh kami di USM,” tambah beliau.
Bukan itu sahaja, Profesor Dr. Azlinda turut menekankan kepentingan untuk pelajar-pelajar Kampus Kejuruteraan bergaul secara sihat sambil menyemarakkan hubungan sesama kaum dan etnik di samping memperbanyakkan penglibatan di dalam aktiviti persatuan.
“Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan oleh universiti, sambil meneroka setiap peluang yang ada di hadapan anda dan ambil inisiatif untuk kenali senior masing-masing di samping mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman sepanjang empat tahun pengajian ini,”
“USM sangat menggalakkan pelajarnya untuk mempunya personaliti yang seimbang dari segi personaliti, akademik serta aktiviti kokurikulum.
“Oleh yang demikian, kita mahu setiap daripada anda untuk santun menyantuni satu sama lain tanpa mengira jantina mahupun budaya masing-masing melalui corak pergaulan yang profesional dan beretika,” tambah Azlina.
“Apatah lagi, pihak pengurusan universiti tidak lain, hanya mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajarnya, bukan untuk menekan anda, tetapi to serve and to support demi kegembiraan serta kesejahteraan anda dalam menuntut ilmu di Menara Ilmu ini,”.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman