Skip to main content

USM-FAMA PACU PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN PELAJAR MELALUI EKSPO WUS101 2026, BERJAYA TARIK KEHADIRAN 2000 PENGUNJUNG

DSC 6323

NIBONG TEBAL, 13 Mei 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dengan kerjasama strategik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini berjaya menganjurkan Ekspo Keusahawanan WUS101 yang menghimpunkan kira-kira 2,000 pengunjung.

Program tersebut bukan sahaja menjadi platform pembelajaran praktikal kepada pelajar, malah turut memperlihatkan komitmen bersama USM dan FAMA dalam memperkasa pembangunan keusahawanan pelajar, pemasaran digital serta ekosistem usahawan tempatan secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.

Dalam ucapannya, Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha merakamkan penghargaan kepada pihak FAMA atas kesediaan menjalinkan kerjasama bersama USM dalam menjayakan ekspo berkenaan.

 DSC 6273

DSC 6263 DSC 6268

Menurut beliau, kerjasama tersebut membuka ruang yang lebih luas kepada pelajar untuk memahami ekosistem keusahawanan sebenar, khususnya dalam konteks pembangunan usahawan tempatan dan industri makanan.

“Penganjuran ekspo ini amat signifikan kerana ia julung kali dilaksanakan bersama FAMA dan menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan agensi industri demi melahirkan graduan yang lebih kompetitif, versatil dan bersedia menghadapi cabaran semasa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, seramai kira-kira 800 orang pelajar mengikuti kursus WUS101 pada semester ini, iaitu antara jumlah penyertaan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana 167 gerai jualan dikendalikan sendiri oleh para pelajar sebagai sebahagian daripada komponen pembelajaran kursus.

DSC 6284 DSC 6389 

DSC 6391 DSC 6400

Tambah beliau, pengalaman tersebut memberi nilai tambah yang besar kepada pelajar kerana mereka bukan sahaja mempelajari teori keusahawanan di dalam bilik kuliah, malah turut didedahkan kepada pengalaman sebenar melibatkan pengurusan operasi, pemasaran, kewangan, komunikasi pelanggan dan kerja berpasukan.

Ekspo tersebut turut melibatkan penyertaan 30 vendor usahawan di bawah FAMA yang menawarkan pelbagai produk Industri Asas Makanan (IAM), sekali gus memberi peluang kepada pelajar dan pengunjung melihat sendiri pendekatan pemasaran serta pembangunan produk tempatan secara profesional.

Sementara itu, Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nurulhuda berkata, dalam era pendigitalan yang semakin pesat, pemasaran digital kini menjadi satu keperluan strategik bagi memastikan kelestarian dan daya saing produk tempatan.

Menurut beliau, FAMA sentiasa komited dalam memperkukuh sistem pemasaran hasil pertanian negara termasuk membuka ruang penglibatan strategik kepada golongan muda, khususnya pelajar universiti, sebagai ejen pemasaran digital.

DSC 6374 DSC 6525

DSC 6532 DSC 6487

“Penglibatan pelajar universiti memainkan peranan penting dalam program ini kerana mereka bukan sahaja celik teknologi dan kreatif dalam penghasilan kandungan digital, malah mempunyai potensi besar untuk menjadi penghubung antara usahawan bimbingan FAMA dengan pasaran digital yang lebih luas,” ujarnya.

Tambah beliau, FAMA turut memperkasakan penggunaan platform AgroBazaar Online (ABO) sebagai saluran e-dagang utama bagi produk usahawan bimbingannya, manakala pelajar yang terlibat sebagai ejen pemasar digital berperanan membantu pengurusan kandungan, promosi produk dan peluasan capaian pasaran usahawan melalui pendekatan kreatif serta strategi digital yang lebih berfokus.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor; Timbalan Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA Pulau Pinang, Mohd Faisol Ghazali; Pengerusi Rancangan Sukan dan Kebudayaan Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Profesor Madya Dr. Azam Taufik Mohd Din serta Penyelaras Kursus Teras Keusahawanan (WUS 101) USM, Dr. Inzarulfaisham Abd Rahim.Top of Form

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman