LEBIH 300 SERTAI SOLAT SUNAT GERHANA
NIBONG TEBAL, 3 Mac 2016 – Lebih 300 warga kampus terdiri dalam kalangan staf dan pelajar menunaikan solat sunat gerhana yang dianjurkan oleh Pusat Islam Kampus Kejuruteraan di sini pagi ini.
Solat sunat itu yang diadakan pada pukul 8.45 pagi diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Mohd Mohsin Sirun kemudiannya diikuti dengan khutbah gerhana yang disampaikan oleh Ketua Unit, Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan, Ustaz Mohammad Shukri Osman.
Fenomena gerhana matahari separa itu bermula pada pukul 7.24 pagi sehingga pukul 9.30 pagi ini.
Mohammad Shukri dalam khutbahnya menegaskan bahawa, apabila berlaku gerhana, sebagai umat Islam kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara yang berkaitan seperti berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir, bersedekah dan beristighfar.
Disamping itu, beliau turut mengajak para jemaah supaya melakukan perkara-perkara kebajikan dan menghindari daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan maksiat serta perbuatan syirik yang bercanggah dengan ajaran agama Islam.
“Mudah-mudahan kejadian gerhana matahari ini akan menimbulkan keinsafan dan menambah serta menguatkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT”.
Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin