SESAL DAHULU PENDAPATAN SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA
NIBONG TEBAL, 9 Mac 2016 – Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna satu peribahasa yang membawa maksud sebelum melakukan sesuatu perkara, hendaklah difikirkan dahulu baik dan buruk agar tidak berlakunya penyesalan di hari kelak.
Begitulah juga dengan perokok dan bakal perokok yang semakin meningkat dari hari ke hari khususnya dalam negara kita.
Wakil Tetap, USM Bebas Tembakau, Mohd Kamil Ashar, berkata, ramai penghisap rokok mengeluh apabila harga rokok dinaikkan sehingga RM17 sekotak tetapi ia hanya bertahan seketika dan tidak memberi sebarang kesan terhadap mereka.
“Rokok, makin lama makin mahal dan tiada satu bukti bahawa merokok itu mendatang kebaikan kepada manusia”, katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Program Kick Tobacco Peringkat Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) disini hari ini.
“Sebenarnya, bukan isu kenaikan harga rokok yang semakin meningkat kerana walaupun harga rokok mencecah sehingga RM50 sekali pun, perokok tetap akan membelinya”, katanya di hadapan lebih 100 pelajar dalam majlis ringkas yang berlangsung di Komplek Sukan itu.
Tegasnya, apa yang lebih penting adalah kesedaran mengenai keburukan dan bahaya merokok yang ingin diterapkan dalam diri warga kampus khususnya.
Sebelum itu, sebanyak empat program telah berjaya dijalankan di persekitaran kampus iaitu program Kick Tobacco, X-Smoke Race, #Notobac dan Tobacco Free Vengers 1.0 yang bermula pada 24 Februari 2016 dan berakhir pada 9 Mac 2016.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Sukarelawan, USM My-Sihat, Kampus Kejuruteraan, Che Nur Hidayati Mohd Husaini berkata program-program yang dijalankan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar.
“Lebih 160 pelajar yang terdiri dari tahun satu hingga tahun empat daripada pelbagai bangsa menyertai program yang diadakan ini”, kata pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam itu.
Tambahnya, setiap program yang dijalankan mempunyai objektif tersendiri yang kebanyakannya adalah untuk menyampaikan mesej kepada para pelajar serta warga kampus tentang bahayanya rokok dan keburukan asap rokok basi serta amalan gaya hidup yang sihat.
Dalam program yang mendapat dana kewangan daripada USM My-Sihat itu berjaya menarik penglibatan mahasiswa di kampus kejuruteraan ini dengan membawa pulang hadiah yang dimenangi bagi kategori masing-masing.
Semua pemenang akan dibawa bertanding ke peringkat induk dan akan dirai dalam majlis konvensyen yang akan diadakan pada 1 dan 2 April 2016 di Dewan Budaya, Kampus Induk, USM.
Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin