KONTINJEN SERAI WANGI SASAR TIGA TEMPAT TERATAS DI HWS 2023
NIBONG TEBAL, 23 Ogos 2023 – Kontinjen Serai Wangi, mewakili Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) pada Hari Warga Staf (HWS) 2023 akan datang meletakkan harapan untuk menduduki sekurang-kurangnya antara tiga tempat teratas di temasya dwi tahunan itu nanti.
Namun demikian, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dalam satu Majlis Amanat ringkas beliau kepada kontinjen Serai Wangi berkata, dalam mengejar kemenangan, ada nilai lain yang perlu ditonjolkan terutamanya dari sudut etika dalam bersukan.
“Adat bertanding, kejuaraan akan sentiasa menjadi buruan, namun saya juga mahu kontinjen kita untuk kekal bersemangat sambil menerapkan nilai kekitaan, kebersamaan dan silaturahim antara satu sama lain sepanjang pertandingan ini berlangsung nanti,” kata beliau.
“Saya yakin, temasya ini juga akan menjadi medan untuk kita semua mencabar diri dan melakukan yang terbaik dalam mewakili Kampus kejuruteraan kita.
“Namun, saya menyeru agar untuk semua peserta mengekalkan persaingan secara sihat serta menjaga kesihatan diri masing-masing sepanjang berada di HWS 2023 di Kampus Kesihatan USM di Kelantan nanti dan pulanglah ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat hendaknya,” tambah Azlina.
Selain daripada itu, beliau turut menekankan kepada semua yang hadir akan konteks sebenar kejuaraan di sebalik sesebuah pertandingan iaitu untuk berjaya membawa diri sebagai sebahagian daripada komuniti besar USM dan bukan bersifat individu serta kampus semata.
“Tidak kira sama anda adalah wakil peserta dari Kontinjen Misai Kucing, Kacip Fatimah, Jarum Mas, Halia Bara, Duri Tujuh atau Serai Wangi, kita masih bernaung di bawah satu bumbung yang sama iaitu Universiti Sains Malaysia,” kata Azlina.
Menyaksikan Kampus Kesihatan USM di Kelantan sebagai tuan rumah, HWS 2023 dijangka berlangsung dari 25 Ogos hingga 26 Ogos 2023 di mana sebanyak tujuh kontinjen akan bersaing merebut kejuaran melalui 10 keseluruhan acara yang dipertandingkan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman