DELEGASI MAHASISWA KEJURUTERAAN AWAM USM KE UTM, PERKUKUH SAHSIAH DAN KEPIMPINAN
JOHOR BAHRU, 12 Mei 2025 – Civil Engineering Society (CIVES) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (MPP PPKA), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan satu program lawatan akademik dan sesi penandaarasan rasmi ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut MPP PPKA, Muhammad Nuraiman Mohd Yusrino, program dari 9 hingga 12 Mei yang lalu ini merupakan hasil kolaborasi erat antara CIVES dan MPP PPKA yang bertujuan untuk memperluas jaringan strategik serta memperkayakan pengalaman dalam kepimpinan dan pengurusan mahasiswa.
“Khususnya dalam dalam bidang kejuruteraan awam,” ujar beliau.
Menurut Aiman, delegasi dari USM telah diberi penghormatan untuk mengadakan sesi perkongsian bersama Persatuan Kejuruteraan Awam UTM (PEKA UTM), yang menerima kehadiran delegasi dengan penuh mesra dan terbuka.
“CIVES amat berbesar hati atas kesudian pihak PEKA UTM meluangkan masa untuk berkongsi pengalaman, idea serta pendekatan berkesan yang telah mereka laksanakan dalam memperkasakan pelajar dan organisasi kejuruteraan awam di UTM,” kata Aiman.
Beliau menyatakan, sebagai delegasi pertama yang dianjurkan secara bersama oleh CIVES dan MPP PPKA, program ini mencatatkan sejarah penting dalam usaha memperkukuh pembangunan sahsiah kepimpinan serta kecemerlangan akademik dalam kalangan mahasiswa kejuruteraan awam USM.
“Pengalaman yang diperoleh serta hubungan yang terjalin sepanjang program ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada penambahbaikan dan inovasi dalam pengurusan organisasi pelajar pada masa hadapan,” tambah beliau.
Teks: Amirah Umairah binti Kyaiddiansyah /Foto: Ihsan Majlis Perwakilan Pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam