INNOPLANET 2025, LESTARI DALAM INOVASI
NIBONG TEBAL, 14 Jun 2025 – Usaha memperkasa inovasi dan kelestarian diteruskan melalui penganjuran INNOPLANET 2025 yang berlangsung meriah di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.
Acara yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan USM dengan kerjasama Sekretariat MPP, Mineral and Materials Engineering Society (MIMATES), Mentor Rakan Siswa (MRS), and Institution of Mechanical Engineers (IMechE), ini menghimpunkan inovator muda daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi dan prasiswazah seluruh negara.
INNOPLANET 2025 dirasmikan oleh Pegawai Kebudayaan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPA), Encik Murshid Md Hussain, mewakili Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar.
“INNOPLANET bukan sekadar pertandingan, tetapi merupakan sebuah platform berprestij yang memberi peluang kepada pelajar universiti dan prasiswazah untuk membangunkan idea lestari yang memberi impak positif kepada masyarakat serta alam sekitar,” ujar Murshid.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kelab-kelab pelajar dan pempamer yang menjadikan program lebih meriah, di samping menggalakkan budaya ilmu dan kesedaran kelestarian dalam kalangan warga kampus.
Sebanyak lapan pasukan dari USM, UNIMAP, UTM, UNIMAS dan Politeknik Nilai menyertai pertandingan ini yang menampilkan pelbagai projek sains dan teknologi berasaskan kelestarian.
Pelajar-pelajar sekolah dari SMK Panglima Bukit Gantang, SMK Sri Perak, dan SMKA Syeikh Abdullah turut dijemput untuk menyaksikan budaya inovasi USM.
Johan INNOPLANET 2025 dimenangi oleh pasukan dari Politeknik Nilai, Negeri Sembilan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh pasukan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM.
Bagi pihak penganjur, Pengarah Program, Nor Farisyatul Husna Abdullah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik dan sukarelawan mahasiswa yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.
“Menerusi maklum balas positif, INNOPLANET dijangka kembali tahun hadapan dengan lebih besar dan berimpak,” ujar beliau.
Turut hadir memberikan sokongan kepada Innoplanet 2025 adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Ts. Dr. Zulkifli Mohamad Ariff dan Dr. Mohamad Ikhwan Zaini Ridzwan yang mewakili Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal.
Teks: Siti Faizah Abdul Halim & Sam Yu Jie / Photo: Ihsan Ahli Jawatankuasa Innoplanet 2025