PERPUSTAKAAN MUSA MOHAMAD USM TERIMA SUMBANGAN BUKU RUJUKAN STPM DAN MUET
NIBONG TEBAL, 19 Jun — Perpustakaan Musa Mohamad, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), dalam satu majlis ringkas, menerima sumbangan buku rujukan STPM dan MUET bagi menyokong pembelajaran pelajar Kolej Tingkatan Enam (KTE) di kampus ini.
Serahan buku ini merupakan hasil inisiatif Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek menerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
Majlis penyerahan buku ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan program KTE USM yang diperkenalkan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada baru-baru ini.
Pengetua Cemerlang Kolej Tingkatan Enam Desa Murni, Tuan Haji Adnan Idris, dalam ucapannya melahirkan penghargaan kepada pihak USM yang sudi menerima pelajar tingkatan enam untuk mengikuti pembelajaran secara akademik di kampus berkenaan.
“Kehadiran pelajar KTE di kampus USM ini merupakan satu sejarah. Mereka kini mengikuti kurikulum baharu STPM dan tidak lagi boleh menggunakan buku rujukan lama,” ujarnya.
“Oleh itu, sumbangan buku ini amat penting bagi memastikan mereka menerima bahan yang bersesuaian dan terkini seiring keperluan pembelajaran masing-masing,” ujarnya.
Beliau turut menyeru para guru untuk memastikan semua pelajar menggunakan kemudahan perpustakaan sepenuhnya, demi memaksimumkan manfaat pembelajaran sepanjang tempoh pengajian mereka di kampus USM.
“Kita merupakan satu-satunya institusi KTE yang menerima sumbangan seperti ini, dan inisiatif ini turut mendapat sokongan penuh daripada KPM sebagai satu penanda aras yang sangat baik,” tambahnya.
Turut hadir, Ketua Perpustakaan Musa Mohamad, Puan Mazainun Aini Mohd Zain yang mewakili Timbalan Ketua Pustakawan, menyatakan penghargaan atas sumbangan tersebut dan mengalu-alukan kehadiran pelajar serta tenaga pengajar untuk menggunakan sepenuhnya fasiliti perpustakaan.
“Pihak kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan dan berharap agar buku-buku ini dapat dimanfaatkan oleh pelajar Kolej Tingkatan Enam USM,” kata beliau.
“Kami juga mengalu-alukan para guru dan pelajar untuk menggunakan perpustakaan ini sebagai sumber utama sepanjang tempoh pembelajaran mereka,” tambahnya.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman