Skip to main content

USM KAMPUS KEJURUTERAAN KUMPUL LEBIH 2 TAN BARANGAN KITAR SEMULA SEBAGAI USAHA KELESTARIAN KAMPUS

Picture6

NIBONG TEBAL, 24 Jun – Sebanyak 2.87 tan barangan kitar semula berjaya dikumpul melalui Program Pengumpulan Barangan Kitar Semula yang diadakan di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), membuktikan kesedaran warga kampus terhadap kelestarian semakin meningkat.

Program anjuran Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kejuruteraan yang dipengerusikan oleh Ir. Gs. Ts. Dr. Chang Chun Kiat itu telah dilaksanakan pada 24 Jun 2025 di Makmal Basah, Science and Engineering Research Centre (SERC), Kampus Kejuruteraan USM.

Sebagai inisiatif awal, satu sesi webinar bertajuk "Jom Kitar Semula" telah diadakan pada 17 Jun 2025 oleh Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat E-Idaman Sdn. Bhd., Encik Muhammad Hanifah Redzuan yang memperkenalkan aplikasi IdamanXchange.

Picture2 Picture3

Picture4 Picture9

Aplikasi ini membolehkan pengguna untuk menukar barangan kitar semula kepada mata ganjaran digital, sejajar dengan amalan masyarakat tanpa tunai.

Sebanyak 12 kategori barangan berjaya dikumpulkan daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan individu termasuk kertas campuran, kertas hitam putih, minyak masak terpakai, kadbod, plastik, kaca dan logam.

Nilai pertukaran yang berjaya dijana hasil program ini adalah sebanyak RM836.35 dengan penyumbang tertinggi adalah minyak masak terpakai (RM238.98), kertas hitam putih (RM233.12), dan kertas campuran (RM140.13).

Dari segi kuantiti, kertas campuran mencatat kutipan tertinggi sebanyak 1,400.90kg (1.4 tan), diikuti oleh kertas hitam putih (666.05 kg) dan kadbod (517.05 kg), menunjukkan bahan kertas masih menjadi penyumbang utama sisa kitar semula di kampus.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Ihsan Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kejuruteraan