Skip to main content

USM RAIH TEMPAT KE-3 DAN KE-4 SERTA ANUGERAH PASUKAN TERBAIK DI ROBOCON MALAYSIA 2025

510168711 1215347420389883 7761066273047224172 n

BATU PAHAT, 23 Jun 2025 – Pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih tempat ketiga dan keempat, serta Anugerah Pasukan Terbaik dalam Pertandingan ROBOCON Malaysia 2025 di sini baru-baru ini.

Pertandingan tahunan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini telah menyaksikan penyertaan sebanyak 26 pasukan dari pelbagai universiti awam dan swasta seluruh negara yang bertanding dalam cabaran membina robot berasaskan tema inovatif.

Pasukan USM diwakili seramai 47 orang pelajar, terdiri daripada 35 pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), 10 pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM), seorang dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPK Aero) dan seorang lagi dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK).

499631444 1215347397056552 2516295515508190960 n 503615312 1215347307056561 153990044622744124 n

507558362 1215347360389889 2293017740220965650 n WhatsApp Image 2025 06 25 at 16.47.03

Lebih membanggakan, dalam pertandingan yang berlangsung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor dari 17 hingga 19 Jun lalu ini, pasukan USM A telah dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik 2025, satu pengiktirafan kepada kekuatan kerja berpasukan, reka bentuk robotik dan strategi teknikal mereka.

Penasihat Pelajar Pasukan ROBOCON USM, Sam Yu Jie (24) dari PPKEE merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dekan dan staf pusat pengajian PPKEE, pengurus pasukan, Pusat Penyelidikan Bersepadu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), para penaja serta semua pihak yang telah memberikan sokongan padu sejak awal hingga ke hari pertandingan tersebut berlangsung.

Menurut beliau, meskipun tidak membawa pulang kejuaraan utama, pencapaian USM ini amat bermakna selepas hampir setahun proses pembangunan robot, yang menggabungkan pembelajaran teori dan amali secara intensif serta semangat kerja berpasukan yang tinggi.

Teks dan foto: Ihsan Pasukan ROBOCON USM / BHEPA USM / UTHM