Skip to main content

HARI WARGA STAF 2025, DEBARAN KIAN TERASA!

531766278 1338312244965873 4180366564051743930 n

NIBONG TEBAL, 14 Ogos 2025 – Debaran sambutan Hari Warga Staf (HWS) Universiti Sains Malaysia (USM) 2025 semakin memuncak dan Kampus Kejuruteraan bersedia menjadi tuan rumah bermula esok, 15 hingga 16 Ogos 2025.

Edisi kali ini bakal menyaksikan persaingan lima kontinjen yang membawa identiti burung sebagai lambang kekuatan dan kebersamaan iaitu Pipit Hutan (Kampus Kejuruteraan), Merbah Surih (Kampus Induk), Sambar Kuning (Kampus Kesihatan), Pekaka Udang (Hospital Pakar USM) dan Pucung Harimau (Institut Perubatan dan Pergigian Termaju) dalam merebut piala pusingan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, ketika diminta mengulas akan penganjuran HWS 2025 berharap agar temasya ini menjadi pemangkin kepada semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan warga USM, dan setiap pertandingan berlangsung dengan penuh dedikasi, disiplin, serta rasa hormat terhadap lawan.

“HWS adalah peluang untuk kita memperkukuh hubungan antara kampus, membina jaringan persahabatan baharu, serta merapatkan lagi ukhuwah sedia ada,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar semua peserta dapat menampilkan prestasi terbaik masing-masing, dengan mengaplikasikan kemahiran, strategi, dan kerjasama pasukan yang telah diasah sepanjang sesi latihan bersama kontinjen masing-masing.

“Semoga semangat untuk berusaha mencapai kejayaan menjadi motivasi utama, tanpa mengabaikan nilai integriti dan semangat juang yang tinggi kita semua,” tambah Naib Canselor.

Sementara itu, Pengarah Kampus Kejuruteraan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk HWS 2025, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha mengalu-alukan kedatangan semua kontinjen dari empat lokasi berbeza.

“Kehadiran anda diharap dapat memeriahkan lagi suasana, yang seterusnya memberi makna yang besar kepada penganjuran temasya ini,” ujar beliau.

“Sebagai tuan rumah, adalah menjadi harapan kami agar semua peserta dapat merasai suasana persaingan yang sihat, penuh semangat, sambil membina kenangan manis sepanjang berada di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang ini,” kata Mariatti.

Acara-acara yang akan dipertandingkan pada temasya selama dua hari ini adalah Boling, HWSRUN25, Hook Me Up, HUNT NGINEERS: NUTS, BOLTS & BRAINS, Hora Hore Sportiva, TENTnovasi Harmoni, La La Loud, Masterchef, Rope Warriors, dan Pentas Malam Galau.

Teks: Siti Faizah Abd Halim