Skip to main content

MAJLIS ANUGERAH APRESIASI STAF RAIKAN DEDIKASI DAN INOVASI WARGA PERPUSTAKAAN MUSA MOHAMAD

DSC 6271

NIBONG TEBAL, 10 Oktober 2025 - Majlis Anugerah Apresiasi Staf Perpustakaan Musa Mohamad baru-baru ini menjadi platform untuk mengiktiraf sumbangan, komitmen dan dedikasi warganya, yang merupakan tulang belakang dalam menyokong kecemerlangan akademik, penyelidikan serta inovasi universiti.

Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, dalam ucapan perasmiannya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Perpustakaan Musa Mohamad atas usaha dan dedikasi berterusan mereka dalam memastikan peranan perpustakaan kekal relevan serta efisien.

Menurut beliau, perpustakaan bukan sekadar tempat menyimpan buku atau sumber rujukan, ia merupakan pusat pembelajaran, rujukan dan kolaborasi bagi seluruh warga kampus, sama ada pensyarah, penyelidik, pelajar mahupun komuniti setempat.

Pengarah Kampus turut menekankan bahawa dalam era digital yang pesat berubah, staf perpustakaan telah berjaya membuktikan keupayaan mereka menyesuaikan diri dan memacu perubahan melalui pelbagai inisiatif.

DSC 6083 DSC 6100

DSC 6121 DSC 6054

“Antaranya adalah seperti Makerspace@Englib, program pendigitalan bahan akademik serta pelbagai bentuk sokongan terhadap pembelajaran abad ke-21,” ujar Mariatti.

Menurut beliau, kejayaan Kampus Kejuruteraan tidak dapat dicapai tanpa sumbangan signifikan warga perpustakaan yang sentiasa memberikan perkhidmatan dengan sikap profesional, mesra dan bertanggungjawab.

Oleh yang demikian, beliau menyifatkan majlis apresiasi ini sebagai tanda pengiktirafan terhadap usaha tersebut, bukan sekadar melalui anugerah, tetapi juga melalui kesedaran bahawa perpustakaan memainkan peranan penting dalam menyokong ekosistem universiti.

DSC 6100 DSC 6138 DSC 6154 DSC 6154

“Seiring aspirasi USM untuk menjadi universiti berteraskan kelestarian, saya yakin perpustakaan akan terus menjadi ruang inklusif dan progresif dalam memperkukuh budaya ilmu, memperluas akses pengetahuan dan membentuk graduan yang berfikir kritikal, beretika serta prihatin terhadap masyarakat dan alam sekitar,” tambah beliau.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Sukmawati Muhamad, dalam ucapannya turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian kolektif warga perpustakaan yang sentiasa menunjukkan semangat kerja berpasukan dan komitmen tinggi.

“Majlis ini diadakan khusus untuk menghargai dan meraikan jasa serta sumbangan seluruh warga Perpustakaan Musa Mohamad yang sentiasa memberi komitmen tanpa mengenal penat Lelah,” ujar beliau.

DSC 6180 DSC 6200

DSC 6247 DSC 6288

“Ianya kerana, kejayaan sesebuah organisasi tidak lahir daripada individu semata-mata, tetapi hasil semangat pasukan yang kuat dan bersatu hati,” katanya.

Malah, Sukmawati turut menyeru agar warga perpustakaan terus bersemangat dan bermotivasi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada universiti serta masyarakat, walaupun berdepan cabaran dan perubahan landskap pendidikan.

“Kepada semua staf, anda adalah aset terpenting perpustakaan ini di mana pengorbanan, kesungguhan serta kerja berpasukan anda tidak ternilai harganya dan majlis ini menjadi bukti bahawa usaha anda sentiasa dipandang tinggi,” jelas beliau.

Antara anugerah yang disampaikan kepada staf sempena majlis ini ialah Anugerah Prestasi Cemerlang merangkumi pelbagai kategori, termasuk Perkhidmatan Cemerlang, Inovasi, dan Khidmat Bakti kepada perpustakaan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman