Skip to main content

USM DAN JET CORPORATION JEPUN JALIN KERJASAMA DALAM SISTEM KITAR SEMULA ALAM SEKITAR

DSC 6859

NIBONG TEBAL, 28 Oktober 2025 - Universiti Sains Malaysia (USM) melangkah setapak lagi dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara universiti itu dan JET Corporation dari Jepun yang diadakan di Kampus Kejuruteraan USM hari ini.

Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada projek Environmental Recycling System with Ammonia Gas Recovery, yang melibatkan penyelidikan rentas disiplin antara Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Madya Dr. Abdullah Aziz Saad, berkata kerjasama itu bukan sekadar satu perjanjian rasmi, tetapi mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti awam dan industri.

“Kerjasama ini bukan sekadar satu memorandum, tetapi pertukaran ilmu yang bermakna serta dapat memperkukuh budaya penyelidikan dalam universiti awam,” katanya.

Beliau menambah bahawa kehadiran rakan industri seperti JET Corporation ke kampus bagi membincangkan projek bersama jelas menunjukkan bahawa kepakaran yang dibangunkan di USM telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

DSC 6799 DSC 6814

DSC 6849 DSC 6875

“Setiap bentuk kerjasama seperti ini membawa nilai yang tinggi, bukan sahaja dari sudut teknologi, tetapi juga dalam membina budaya penyelidikan rentas disiplin serta memperkasakan penyelidik muda,” ujar beliau.

Ianya adalah definisi universiti sebagai ruang ilmu, perkongsian dan kemajuan bersama,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JET Corporation atas kepercayaan terhadap kepakaran USM, sambil menegaskan komitmen universiti untuk terus memperkukuh penyelidikan yang memberi manfaat nyata kepada industri dan masyarakat.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil daripada USM dan JET Corporation, termasuk Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Madya Dr. Elmi Abu Bakar; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad; Inoue Yoshiyuki; serta Dr. Phan Phuoc Tri, diiringi Profesor Emeritus Takaomi Kobayashi dari Nagaoka University of Technology.

Majlis berkenaan turut disertai secara maya oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JET Corporation, Katayama Tomoyuki, dan disusuli dengan sesi perbincangan bagi meneroka potensi kerjasama dalam penyelidikan bersama, perkongsian teknologi, serta pembangunan lestari dalam bidang kejuruteraan alam sekitar.

Majlis itu juga turut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam memperluaskan jaringan kerjasama strategik antarabangsa selaras dengan misi universiti dalam memacu inovasi mampan dan kecemerlangan penyelidikan rentas sempadan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman