KAMPUS KEJURUTERAAN CEMERLANG DI AKADEMIA FIESTA 2025

NIBONG TEBAL, 28 Oktober 2025 - Akademia Fiesta@USM 2025 yang berlangsung sempena Bulan Akademia baru-baru ini telah menyaksikan kejayaan cemerlang warga Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam pelbagai kategori akademik dan inovasi pendidikan.
Dengan tema “Building Networks of EduChamps”, program anjuran Pusat Pembangunan Kecemerlangan Akademik (CDAE) ini dirasmikan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Profesor Ir. Dr. Taksiah A. Majid, Profesor Madya Dr. Sharifah Akmam Syed Zakaria dan Abdul Hakim Salleh dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam berjaya meraih pingat Perak melalui projek “Wind Disaster Risk Awareness Program for Primary School Students”.


Dalam kategori MOOC Challenge, dua pingat Perak turut diraih oleh Ir. Dr. -Ing. Noor Ashrina A. Hamid, pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (MOOC - Introduction to Chemical Engineering) serta pasukan pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik iaitu Ts. Dr. Noramalina Abdullah, Dr. Intan Sorfina Zainal Abidin, dan Ts. Dr. Nur Zatil Ismah Hashim (MOOC - Life with IoT for Everyone).
Sementara itu, dalam kategori EDUCHAMP Challenge, pingat Perak dimenangi oleh Guru Bahasa dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, iaitu Puan Aida Shuhaida Mustafa melalui projek “Memperkasakan Pemimpin Hari Esok: Strategi Lakonan Pentas bagi Kursus Teater Moden untuk Memupuk Bakat dalam Kalangan Pelajar USM”.
Beliau juga telah meraih pingat Gangsa bagi projek “Bengkel Celik Tatabahasa.”
Selain daripada itu, Puan Suzila Mohd Shukor, juga merupakan Guru Bahasa dari dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan memenangi dua pingat Perak bagi projek “RPR - Reader Podcast Revolution” dan “Over the MUN@USM: Speak to Impact”.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa,Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Ts. Dr. Noramalina Abdullah