Skip to main content

HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA 2.0 PERKUKUH KESEDARAN KOMUNITI KAMPUS TERHADAP KESEJAHTERAAN MENTAL

WhatsApp Image 2025 10 27 at 12.20.19

NIBONG TEBAL, 25 Oktober 2025 - Sekretariat Mentor Rakan Siswa (MRS), Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menganjurkan program World Mental Health Day 2.0 baru-baru ini dengan tujuan memperkukuh kesedaran menyeluruh terhadap kepentingan kesihatan mental dalam kalangan komuniti kampus.

Program ini memberi tumpuan kepada penyampaian pengetahuan asas berkaitan kesihatan mental, strategi berkesan dalam menangani cabaran emosi serta membentuk pemikiran positif dan sokongan bersama ke arah kesejahteraan menyeluruh. Pelbagai aktiviti interaktif dan berinformasi turut dijalankan sepanjang hari bagi menarik penglibatan peserta dalam suasana yang menyeronokkan namun bermakna.

Antara pengisian utama termasuk forum oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan (PKD SPS), ceramah kesihatan oleh Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., pemeriksaan kesihatan percuma serta pameran kesihatan yang menghimpunkan 13 pempamer daripada pelbagai agensi dan organisasi berkaitan kesihatan serta kesejahteraan.

WhatsApp Image 2025 10 27 at 12.20.17 WhatsApp Image 2025 10 27 at 12.20.18

WhatsApp Image 2025 10 27 at 12.20.19 WhatsApp Image 2025 10 27 at 12.20.22

Selain itu, 13 gerai jualan turut dibuka sepanjang program dengan menawarkan pelbagai makanan, minuman dan produk gaya hidup yang menambah keceriaan acara. Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 8: Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi yang Baik, dengan menggalakkan keusahawanan pelajar serta penyertaan ekonomi secara mampan di peringkat kampus.

Menurut Pengarah Program, Mohamad Faris Izzuddin Mohamad Fakarudin, program ini menjadi platform penting untuk menggalakkan pelajar memahami dan memberi keutamaan kepada kesihatan mental, di samping membantu menghapuskan stigma terhadap isu tersebut.

“Kami berharap inisiatif ini dapat mendorong komuniti kampus untuk lebih prihatin terhadap kesejahteraan mental masing-masing serta saling menyokong dalam mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan positif,” katanya.

Selaras dengan SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik, penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam mempromosikan kesejahteraan fizikal dan mental sebagai sebahagian daripada amalan kampus lestari. Dengan menekankan kepentingan pendidikan dan kesedaran kesihatan mental, program ini menyokong usaha universiti untuk membentuk komuniti yang seimbang, sihat dan berdaya tahan.

Program ini turut menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar, staf serta pempamer, sekali gus memperlihatkan komitmen yang semakin meningkat terhadap advokasi kesihatan mental dan kesejahteraan holistik di Kampus Kejuruteraan USM.

Teks: Ainun Syuhada Ahmad Nazri, Sekretariat Mentor Rakan Siswa Kampus Kejuruteraan

Foto: Aisyah Bashiruddin, Sekretariat Mentor Rakan Siswa Kampus Kejuruteraan