32 SUKARELAWAN KAMPUS KEJURUTERAAN SERTAI MISI BANTUAN PASCA BANJIR PERAK 2025

TAIPING, 1 November 2025 - Seramai 32 sukarelawan terdiri daripada 27 pelajar dan lima kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir Perak 2025, anjuran Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama (MPDJLU), Kampus Kejuruteraan USM.
Mengetahui kesukaran yang dihadapi masyarakat setempat, pihak MPDJLU pantas melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut bagi membantu penduduk terkesan, memandangkan Perak antara negeri paling terjejas akibat banjir kilat yang melanda sejak awal Oktober 2025.
Misi kali ini merupakan misi pasca banjir kelima yang dikendalikan oleh pasukan sukarelawan Desasiswa Jaya Lembaran Utama selepas kejayaan pelaksanaan misi terdahulu di Johor.

Fokus bantuan tertumpu kepada fasa pemulihan awal termasuk kerja-kerja pembersihan rumah penduduk, prasarana awam serta penyerahan sumbangan kotak bantuan kepada komuniti terjejas di sekitar Mukim Trong dan Mukim Matang.
Misi berkenaan diketuai oleh pelajar tahun akhir Kejuruteraan Kimia USM selaku Pengarah Program, Zairul Haikal Abdullah, dengan bimbingan Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama merangkap Penasihat Program, Hasliza Mat Saad.
Menurut Zairul Haikal, objektif utama program bukan sekadar meringankan beban mangsa banjir, tetapi juga menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa Kampus Kejuruteraan USM.

“Pengalaman secara langsung di lapangan memberi pendedahan penting kepada pelajar tentang realiti pengurusan bencana serta peranan mereka sebagai warga universiti yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa penglibatan dalam misi seumpama ini memainkan peranan besar dalam membentuk kepimpinan pelajar melalui pengalaman sebenar mengurus kawasan bencana.
“Ia sekaligus melahirkan pemimpin masa hadapan yang berilmu, berempati dan responsif terhadap isu semasa,” tambahnya.
Program dua hari yang berlangsung dari 1 hingga 2 November 2025 ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk MAPIM Malaysia, Masjid Muhammad Al-Fateh, NGO SALIMAH, Pejabat Penghulu Mukim Trong dan Mukim Matang, serta Jawatankuasa Kampung yang terlibat.

Sementara itu, Hasliza Mat Saad menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi sokongan terhadap pelaksanaan misi tersebut.
“Setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar, serta ketua-ketua jabatan dan pihak pengurusan yang sentiasa memberikan sokongan moral dan logistik dalam menjayakan misi ini,” ujarnya.
Tambah beliau, penglibatan aktif sukarelawan JLU dalam misi kali ini mencerminkan semangat ‘USM Prihatin’ yang bukan sahaja memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat, tetapi turut memperkasakan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga kampus.
Teks: Nur Irsalina Khadafi (Sukarelawan Misi Bantuan Pasca Banjir Perak 2025)
Foto: Hasliza Mat Saad & Nurin Irdina Fazly (Sukarelawan Misi Bantuan Pasca Banjir Perak 2025)